COVID-19: Protes serata dunia bantah perintah berkurung

Agensi
April 18, 2020 06:26 MYT
Penunjuk perasaan di Austin, Texas mahu ekonomi mula dibuka secepat mungkin. -Reuters
PROTES tercetus di pelbagai lokasi di serata dunia menggesa kerajaan membuka kembali ekonomi.
Ketika ini arahan tinggal di rumah memberikan kesan negatif kepada pendapatan dan ekonomi di pelbagai negara.
Di Brazil, penyokong Presiden Jair Bolsonaro memprotes terhadap arahan kerajaan tempatan yang ketat untuk kurangkan penularan COVID-19.
Protes dilakukan menentang antara lain arahan tinggal di rumah oleh gabenor negeri Rio.
Penunjuk perasaan inginkan arahan tinggal di rumah hanya dikenakan kepada kumpulan yang berisiko tinggi terutama warga emas.
Isu utama mereka adalah kesan arahan yang lebih ketat ini kepada ekonomi dan pekerjaan mereka.
Penunjuk perasaan turut mengadakan demonstrasi di Sao Paulo menentang arahan yang sama dilakukan oleh gabenor negeri itu.
Sebelum ini Presiden Brazil pecat Menteri Kesihatan negara itu selepas gagal capai kata sepakat tentang langkah kawal penularan covid 19.
Menteri Kesihatan baharu kini menyatakan akan bekerja untuk kedua-dua kepentingan -- ekonomi dan kesihatan.
Di Soacha, Colombia, satu protes diadakan menentang arahan tinggal di rumah yang didakwa terlalu ketat.
Penduduk di bandar itu mendakwa arahan tinggal di rumah antara 4 petang dan 4 pagi menyukarkan penduduk untuk mencari pendapatan.
Arahan baharu ini akan berkuat kuasa selama tiga hari.
Menurut peniaga, arahan itu tidak adil dan bantuan yang dijanjikan kerajaan masih belum tiba.
Sementara itu di Texas, Amerika Syarikat (AS) tunjuk perasaan turut diadakan di bangunan capitol di Austin.
Penunjuk perasaan ingin ekonomi mula dibuka secepat mungkin.
Protes sama turut diadakan di seluruh AS oleh penyokong Presiden Donald Trump.
Protes di Texas dianjurkan syarikat yang dimiliki peminat teori konspirasi Alex Jones.
Penunjuk perasaan tetap adakan protes di Austin ini biarpun gabenor Texas telah umum akan buka sesetengah aktiviti ekonomi secara berperingkat di negeri itu bermula 27 April.
Di Indianapolis, Indiana, penunjuk perasaan turut inginkan aktiviti ekonomi di negeri berkenaan dibuka semula.
Sebelum ini Gabenor Eric Holcomb melanjutkan arahan tinggal di rumah hingga 1 Mei.
Penunjuk perasaan turut membawa sepanduk mendakwa angka kematian adalah satu penipuan dan inginkan kebebasan.
Mereka turut mendakwa pengarah Institut Kebangsaan Amerika untuk Penyakit Berjangkit, Dr Anthony Fauci adalah salah.
#Alex Jones #Brazil #buka ekonomi #Colombia #COVID-19 #Donald Trump #Dr Anthony Fauci #ekonomi #koronavirus #protes #Texas
;