COVID-19: Protes bantah sekatan diperketat bertukar ganas di Belgium
Astro Awani
November 22, 2021 08:44 MYT
November 22, 2021 08:44 MYT
PULUHAN ribu peserta keluar melakukan demonstrasi di Brussels pada Ahad, membantah sekatan COVID-19 yang diperketatkan semula oleh kerajaan Belgium bagi mengatasi lonjakan baharu kes COVID-19.
Bagaimanapun, 42 ditahan dan dua didakwa apabila demonstrasi bertukar ganas dengan ratusan daripadanya mula menyerang polis, memecahkan kereta dan membakar tong sampah.
Pihak berkuasa menganggarkan separuh daripada yang hadir dalam protes berkenaan mula bersurai apabila demonstrasi menjadi tidak terkawal.
Polis bertindak balas dengan melepaskan gas pemedih mata dan meriam air dalam usaha untuk memulihkan keadaan.
Tiga pegawai polis dan seorang penunjuk perasaan cedera dalam pertempuran itu.
Demonstrasi berkenaan membantah keras arahan kerajaan untuk mendapatkan vaksin dan langkah untuk mengenakan mandatori ke atas suntikan vaksin COVID-19.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), minggu lalu berkata bahawa Eropah ketika ini menjadi titik panas wabak COVID-19 dengan peningkatan jumlah kematian.
Lonjakan jangkitan musim luruh turut memenuhi hospital di kebanyakan negara Eropah tengah dan timur, termasuk Ukraine, Rusia, Romania, Republik Czech dan Slovakia.
Sejak beberapa hari lalu, terdapat banyak perarakan anti-vaksinasi di negara-negara Eropah apabila satu demi satu langkah diperketatkan.