COVID-19: Presiden Perancis pertahan keputusan tidak 'lockdown' walau gelombang ketiga melanda
Agensi
Januari 31, 2021 12:36 MYT
Januari 31, 2021 12:36 MYT
PARIS: Presiden Perancis Emmanuel Macron pada Sabtu mempertahan keputusannya untuk tidak melaksanakan sebarang sekatan pergerakan yang ketiga, dengan mengatakan bahawa beliau mempercayai rakyat negara itu mampu menjaga diri daripada dijangkiti COVID-19.
Reuters melaporkan, Macron mahu menangani gelobang ketiga pandemik itu dengan tidak terlalu mengenakan larangan yang ketat.
Pada masa yang sama, program vaksinasi di negara itu juga tidak dapat berjalan lancar seperti yang dirancang.
Bermula Ahad, Perancis akan menutup pintu sempadannya untuk negara-negara yang di luar Kesatuan Eropah (EU) kecuali bagi perjalanan yang perlu.
Mereka yang datang dari blok EU pula perlu menunjukkan perakuan hasil ujian negatif. Selain itu, pusat beli-belah yang besar akan ditutup sementara pihak polis meningkatkan rondaan untuk menguatkuasakan perintah perkurung pada jam 6 petang.
Menurut Macron, beliau mahu melihat dahulu sama ada langkah-langkah lain mencukupi untuk memperlahankan penularan virus korona.
Sejak mula-mula COVID-19 dikesan di Britain, Perancis kini berdepan dengan kemunculan 10 peratus varian baharu dengan kebolehjangkitan tinggi. Sebelum ini, pegawai kanan kesihatan telah menyarankan perintah berkurung baharu, yang disokong oleh kira-kira 75 peratus rakyat negara itu, berdasarkan satu kaji selidik.
Kaji selidik itu juga menunjukkan kemerosotan tahap kepercayaan umum terhadap usaha kerajaan menangani pandemik itu.
"Saya mempercayai kita semua. Tempoh sekarang ini adalah sangat kritikal. Ayuh kita sama-sama lakukan apa yang kita mampu untuk memperlahankan kesan penularan ini,” ujar Macron dalam Twitter rasminya.
Menteri Kesihatan Olivier Veran memberitahu media bahawa para penasihat kerajaan mendapati keputusan menangguhkan perintah sekatan pergerakan sehingga seminggu tidak akan memberi risiko memandangkan penyebaran varian baharu tidak ketara.
Namun tambahnya, tindakan melarang pergerakan yang lebih ketat akan dikenakan jika trend penularan tersebut terjadi dengan lebih pantas.
Macron juga dikritik kerana program vaksinasi yang tidak lancar dan perlahan berbanding negara-negara EU lain, malah lebih perlahan daripada Britain atau Amerika Syarikat. Statistik terkini menunjukkan hanya 1.45 juta dos vaksin yang telah diberikan, berbanding 8.4 juta dos di Britain.
Veran berkata, pentadbir perubatan Perancis masih membuat penilaian atas vaksin AstraZeneca pada Selasa. Negara itu setakat ini telah meluluskan vaksin yang dibangunkan Pfizer/BioNTech dan Moderna.
Perancis melaporkan 24,393 kes positif COVID-19 pada Sabtu sementara jumlah pesakit di hospital masih di atas angka 27,000 27,000 untuk hari kelima berturut-turut.
#Presiden Perancis
#Emmanuel Macron
#pandemik
#COVID-19
#rakyat
#kesihatan
#perintah berkurung
#sekatan pergerakan
#gelombang ketiga