COVID-19: Presiden Mexico minta bantuan Trump untuk dapatkan vaksin
Astro Awani
Disember 4, 2020 08:00 MYT
Disember 4, 2020 08:00 MYT
MEXICO CITY: Presiden Mexico mendakwa kerajaannya mendapatkan bantuan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bagi mendapatkan akses kepada vaksin COVID-19.
Andres Manuel Lopez Obrador mula menghubungi Trump dan wakil presiden Mike Pence sejak Julai lalu.
Beliau percaya negaranya mungkin perlu menunggu sehingga kawal selia AS meluluskan vaksin Pfizer akhir bulan ini sebelum menyalurkannya ke Mexico.
“Semasa lawatan saya ke Washington, saya mendekati Presiden AS serta naib presiden dan mereka akan pertimbangkan Mexico untuk mendapat akses kepada vaksin.
“Kami sedang mengusahakannya, perjanjian dengan Pfizer telah ditandatangani untuk mendapatkan vaksin secepat mungkin.
"Saya harap sebelum akhir tahun ini kita akan mendapat vaksin itu,” katanya.
Pada Rabu, Jabatan Kesihatan Mexico menandatangani kontrak untuk 34.4 juta dos vaksin dan pihaknya berharap dapat menerima 250,000 dos pada bulan ini.
Setiap orang memerlukan dua dos.
Mexico kini mencatat jumlah kematian keempat tertinggi di dunia dengan lebih 107,000 kes dilaporkan.
Negara itu juga kurang menjalankan ujian dan ada yang mendakwa jumlah sebenar kematian lebih tinggi iaitu mencecah angka korban 150,000 kes.