COVID-19: Portugal tutup sekolah, kes meningkat kerana varian baharu

Astro Awani
Januari 21, 2021 23:21 MYT
Antonio Costa, Perdana Menteri Portugal, ketika berucap di Parlimen Europe, Brussels, Belgium, 20 Jan, 2021. - Gambar fail REUTERS
PORTUGAL mengumumkan langkah penutupan sekolah di seluruh negara susulan peningkatan kes jangkitan COVID-19 yang disyaki berpunca daripada varian baharu virus itu.
Menurut Perdana Menteri, Antonio Costa, varian baharu yang didakwa bermula dari United Kingdom (UK) itu mengakibatkan peningkatan kes daripada lapan peratus minggu lalu kepada 20 peratus minggu ini.
“Institut Kesihatan Awam Kebangsaan memberikan data terbaharu semalam mengenai varian baharu itu yang didakwa bermula di UK.
“Minggu lalu kita merekodkan lapan peratus peningkatan kes dan minggu ini naik 20 peratus. Untuk minggu-minggu seterusnya ia mampu capai 60 peratus.
“Dalam menghadapi kepantasan peningkatan kes ini, kita ambil langkah berjaga-jaga dengan menangguhkan sesi persekolahan untuk dua minggu akan datang bermula Jumaat,” katanya pada sidang media di Lisbon pada Khamis.
Jelas beliau, ibu bapa yang mempunyai anak di bawah umur 12 tahun diberi kelonggaran untuk tidak bekerja.
Katanya lagi, kerajaan juga akan memberi subsidi gaji sebanyak 66 peratus selain aktiviti keagamaan di gereja juga ditangguhkan bermula Sabtu bagi mengekang penularan jangkitan.
Portugal mencatat jumlah peningkatan kes dalam tempoh tujuh hari.
Negara dengan populasi 10.3 juta penduduk itu melaksanakan perintah berkurung sejak minggu lalu namun jumlah kes jangkitan terus meningkat sehingga melumpuhkan perkhidmatan kesihatan.
#United Kingdom #Portugal #COVID-19 #varian baharu #sekolah #Antonio Costa #peningkatan #kes jangkitan #tutup