COVID-19: PM Slovakia letak jawatan susulan pembelian vaksin

Astro Awani
Mac 29, 2021 08:08 MYT
Igor Matovic (foto) menyarankan penyerahan jawatan dan peralihan kuasa diberikan kepada Menteri Kewangan, Eduard Heger. - Foto REUTERS
BRATISLAVA: Perdana Menteri Slovakia umum bakal letak jawatan bagi membolehkan rombakan kabinet dilakukan sebagai penyelesaian krisis politik di negara itu ketika ini.
Igor Matovic menyarankan penyerahan jawatan dan peralihan kuasa diberikan kepada Menteri Kewangan, Eduard Heger.
Heger menyambut baik penyerahan jawatan itu dan akan melakukan perbincangan terbuka dengan barisan jemaah menteri baharu.
Perbincangan lanjut juga akan dilakukan bersama presiden, Zuzana Caputova pada Isnin.
Krisis politik negara itu tercetus akibat perjanjian pembelian dua juta dos vaksin COVID-19 yang dihasilkan Rusia, Sputnik V.
Namun, Slovakia yang merupakan negara dalam Kesatuan Eropah (EU) masih belum meluluskan vaksin hasil Rusia itu.
Bagaimanapun, Matovic sebelum ini menegaskan pembelian vaksin Sputnik V itu adalah sebahagian daripada usaha mempercepatkan program imunisasi negara itu.
Susulan krisis politik itu juga, enam menteri dilaporkan sudah meletak jawatan.
#PM #EU #Rusia #Perdana Menteri #Kesatuan Eropah #vaksin #COVID-19
;