COVID-19: PM Britain umum sekatan baharu di England
Agensi
Januari 4, 2021 05:10 MYT
Januari 4, 2021 05:10 MYT
LONDON: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson mengumumkan pelaksanaan sekatan baharu di England yang akan dikuatkuasakan sehingga pertengahan Februari bagi mengekang penularan varian baharu COVID-19.
Dalam ucaptamanya, Johnson menggesa agar orang ramai perlu duduk di rumah seperti mana yang diarahkan pada gelombang pertama penularan pandemik itu Mac lalu.
"Dalam pemakluman saya hari ini, hospital-hospital kita ketika ini di bawah tekanan susulan peningkatan kes COVID-19 yang lebih tinggi berbanding pada awal permulaan pandemik itu.
"Di United Kingdom sahaja, jumlah pesakit COVID-19 di hospital meningkat sehingga hampir 27,000. Dan jumlah itu adalah 40 peratus lebih tinggi berbanding penularan gelombang pertama pada April.
"Pada 29 Disember lalu, lebih 80,000 orang disahkan positif COVID-19 di seluruh England dan ia merupakan satu rekod baharu. Manakala jumlah kematian juga meningkat kepada 20 peratus sejak minggu lalu dan dijangka akan terus meningkat. Saya turut bersimpati buat mereka yang kehilangan orang tersayang," katanya dalam perutusan khas yang disiarkan pada Isnin malam waktu tempatan.
Di bawah peraturan sekatan baharu yang akan dikuatkuasakan serta merta itu, sekolah rendah, menengah dan kolej akan ditutup bagi sesi pembelajaran secara fizikal.
Manakala semua kedai yang tidak penting dan perkhidmatan penjagaan diri seperti kedai gunting rambut akan ditutup.
Restoran pula hanya dibenarkan beroperasi untuk makanan berbungkus.
Pada Isnin, 407 kes kematian baharu direkodkan menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian adalah sebanyak 75,431 sementara 26,626 kes baharu dicatatkan.
#PM
#Britain
#England
#United Kingdom
#COVID-19
#varian baharu
#jumlah kematian
#pandemik
#sekatan baharu