COVID-19: Pil Merck gagal halang jangkitan dalam kalangan isi rumah

Astro Awani
Februari 22, 2023 08:15 MYT
Pil Molnupiravir bagi merawat COVID-19 dilihat di Hospital Misericordia di Itali. - Foto REUTERS
SYARIKAT farmaseutikal, Merck & Co Inc mengesahkan pil COVID-19 keluarannya tidak berkesan untuk mengurangkan risiko jangkitan koronavirus pada individu yang tinggal bersama pesakit COVID-19.
Dapatan ini adalah sama dengan data syarikat Pfizer Inc bahawa pil COVID-19 buatannya, Paxlovid, juga gagal mencegah jangkitan dalam kalangan kenalan isi rumah.
Kedua-dua ubat antivirus itu diluluskan sebagai rawatan untuk individu yang berisiko menghidap penyakit yang kritikal.
Bagaimanapun sambutan terhadap pil Merck berkurangan kerana ia terbukti hanya 30 peratus berkesan berbanding 90 peratus untuk Paxlovid Pfizer.
Ujian peringkat akhir Merck telah mendaftarkan lebih 1,500 peserta merupakan kenalan isi rumah yang terdedah kepada individu mempunyai sekurang-kurangnya satu simptom dan baru-baru ini diuji positif untuk COVID-19.
Pil Lagevrio, yang juga dikenali sebagai Molnupiravir, diberikan setiap 12 jam selama lima hari dan dibandingkan dengan kumpulan plasebo.
Peserta yang dirawat dengan pil adalah 23.6 peratus kurang berkemungkinan mendapat COVID-19 berbanding mereka yang diberi plasebo hingga hari ke-14 dan ia gagal mencapai matlamat utama ujian.
Pil Paxlovid dan Lagevrio telah diberikan kebenaran penggunaan kecemasan pada Disember 2021 untuk pesakit yang mempunyai gejala ringan COVID-19 hingga sederhana, yang diuji positif dan yang berisiko untuk gejala teruk.
Pada bulan Februari, Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) telah mengeluarkan keperluan untuk ujian positif rawatan Merck dan Pfizer dalam usaha untuk meningkatkan akses kepada ubat-ubatan tersebut.
#COVID-19 #pil #jangkitan #Lagevrio
;