COVID-19: Pfizer sasar hantar vaksin beberapa jam selepas dapat kelulusan

APTN
November 20, 2020 08:43 MYT
Bourla berkata Pfizer akan meminta kelulusan daripada pihak berkuasa di seluruh dunia dalam masa beberapa hari dan bersedia mengedarkan 20 juta dos pertama. -Facebook/@DzVetDrs
WASHINGTON: Syarikat farmaseutikal Pfizer bersedia menghantar vaksin COVID-19 dihasilkannya beberapa jam selepas mendapat kelulusan.
Kenyataan itu susulan keputusan ujian percubaan terakhir vaksin dengan kerjasama syarikat dari Jerman BioNTech menunjukkan keberkesanan hampir 95 peratus dan selamat untuk melindungi warga emas, golongan paling berisiko maut akibat virus.
Dalam temu bual bersama Sky News, Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer, Albert Bourla berkata syarikat itu akan meminta kelulusan daripada pihak berkuasa di seluruh dunia dalam beberapa hari lagi dan bersedia mengedarkan 20 juta dos pertama.
"Setelah mereka memberi lampu hijau, matlamat kami adalah untuk memulakan pengiriman dalam beberapa jam setelah kami menerima lampu hijau.
"Sebenarnya, saya harus memberitahu anda bahawa kami telah menghasilkan lebih 20 juta dos di gudang kami dan akan diteruskan untuk menghasilkan lebih banyak.
Inilah sebabnya mengapa kami mengatakan bahawa pada akhir tahun, kami menjangka mempunyai 50 juta dos yang dapat kami edarkan kepada dunia dan akhirnya akan dapat menghasilkan 1.3 bilion dos yang kami janjikan atau kami menjangka akan dihasilkan tahun depan," jelasnya.
Pada akhir tahun, Bourla berharap syarikat itu menghasilkan 50 juta dos vaksin dan dapat memenuhi 1.3 bilion dos vaksin seperti yang dijanjikan pada tahun 2021.
Bagaimanapun, Bourla mengakui proses pengedaran akan memakan masa untuk majoriti penduduk divaksinasi namun optimis kehidupan akan kembali normal tahun depan.
Beliau percaya bahawa suku kedua tahun 2021 akan sangat berbeza bagi kebanyakan penduduk dunia.
#COVID-19 #virus #Farmaseutikal Pfizer #vaksin #BioNTech #Albert Bourla #vaksinasi
;