COVID-19: Pfizer jumpa FDA bincang suntikan ketiga vaksin
Astro Awani
Julai 12, 2021 08:06 MYT
Julai 12, 2021 08:06 MYT
WASHINGTON: Syarikat pembuat vaksin COVID-19 Pfizer akan bertemu dengan pegawai kesihatan Amerika Syarikat (AS) hari ini untuk membincangkan mengenai keperluan dos ketiga vaksin koronavirus.
Pertemuan itu sehari selepas Pfizer-BioNTech umum rancangan minta kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) AS dan Agensi Ubat-Ubatan Eropah (EMA) berhubung perkara itu.
Cadangan bagi dos ketiga itu dibuat berikutan kebimbangan mengenai penularan varian dan data yang menunjukkan peningkatan risiko jangkitan selepas enam bulan divaksinasi.
Tekanan itu mendorong tindak balas FDA dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) yang menyatakan rakyat AS masih tidak memerlukan suntikan ketiga ketika ini.
Ketua Penasihat Perubatan Pentadbiran Biden, Dr Anthony Fauci mengarahkan Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit AS untuk turut serta dalam taklimat berkenaan.
Dr Fauci sebelum ini berkata kerajaan tidak boleh menolak kemungkinan keperluan suntikan ketiga pada masa hadapan terutama jangkitan baharu yang muncul dalam kalangan mereka yang telah diberikan vaksin.
Bagaimanapun, katanya, data yang lebih banyak diperlukan.
AS sedang meningkatkan usaha vaksinasi di beberapa kawasan lebih awal susulan varian Delta yang mudah menular dan menjadi dominan.
Pegawai Eropah juga menyatakan vaksin lengkap dua dos buat masa ini mempunyai perlindungan terhadap varian.
Bagaimanapun Kanada menyatakan pihaknya sedang memantau kemungkinan memerlukan suntikan ketiga vaksin COVID-19.
Beberapa saintis dan pakar kesihatan awam menyatakan kebimbangan kerana perkara ini jelas memberi kuasa kepada negara maju dan kaya sementara negara membangun lain sedang berusaha mendapatkan akses vaksin yang tidak adil.