COVID-19: Pfizer awalkan penghantaran vaksin, Kanada jangka terima 44 juta dos menjelang Jun

Astro Awani
Mac 30, 2021 05:42 MYT
JUSTIN TRUDEAU: Menjelang akhir Mac, bukan sahaja kita mempunyai enam juta dos vaksin, tetapi menjelang akhir minggu ini kita akan menerima lebih sembilan juta dos vaksin.- Gambar fail
PERDANA Menteri Kanada Justin Trudeau mengumumkan pada Selasa, Pfizer-BioNTech mengesahkan penghantaran lima juta dos vaksin COVID-19 akan dibuat pada Jun, berbanding lewat musim panas.
Penghantaran lebih awal itu sekali gus akan meningkatkan jumlah pengedaran vaksin di negara itu menjelang akhir Jun kepada 18 juta dos.
"Menjelang akhir Mac, bukan sahaja kita mempunyai enam juta dos vaksin, tetapi menjelang akhir minggu ini kita akan menerima lebih sembilan juta dos vaksin ke Kanada untuk mempercepatkan proses.
"Jadi, kerja-kerja yang kita lakukan beberapa minggu ini untuk mempercepatkan penerimaan vaksin akan berterusan. Dan ini yang kami umumkan hari ini.
"Menjelang akhir minggu ini, kita akan terus menerima satu juta dos vaksin dari Pfizer setiap minggu. Tetapi pada Jun, dua juta dos dari Pfizer.
"Ia sekali gus menjadikan menjelang akhir Jun, kita akan menerima lebih 40 juta dos vaksin yang akan dihantar ke Kanada," jelasnya di Ottawa, Kanada pada Selasa.
Tambahnya, dengan pengumuman itu, beliau menjangkakan pada akhir musim panas (Ogos), setiap orang akan menerima dua dos vaksin tersebut, bergantung kepada pengedaran oleh wilayah-wilayah.
Dalam pada itu, Menteri Perolehan Anita Anand menjelaskan, dengan penghantaran vaksin Pfizer dipercepatkan, bermakna Kanada akan menerima keseluruhannya 44 juta dos vaksin menjelang akhir Jun.
Jumlah ini cukup untuk memastikan setiap seorang rakyat menerima sekurang-kurangnya dos pertama.
Tambahnya, pada akhir minggu ini, Kanada akan menerima sekitar 9.5 juta dos vaksin dari tiga pengeluar.
Untuk rekod, setakat ini lebih 4.75 juta rakyat Kanada sudah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 sementara lebih 600,000 sudah menerima kedua-dua dos suntikan.
Pada Isnin, pegawai kesihatan Kanada mengatakan pihaknya akan berhenti menawarkan vaksin AstraZeneca kepada individu di bawah usia 55 tahun.
Ia susulan laporan dari Eropah mengenai kejadian pembekuan darah yang jarang berlaku tetapi serius, dan dalam beberapa kes, kematian setelah divaksin, terutama dalam kalangan wanita muda.
#Perdana Menteri #Pfizer-BioNTech #Pfizer #COVID-19 #vaksin
;