COVID-19: Petugas kesihatan mula masuki Amazon, vaksin penduduk tempatan

Astro Awani
Februari 10, 2021 06:56 MYT
Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin COVID-19 AstraZeneca/Oxford kepada seorang penduduk orang asli di Rizab Pembangunan Lestari Tupe di tebing sungai Negro, Manaus, Brazil, 9 Feb, 2021. REUTERS
PETUGAS kesihatan di Brazil telah mula masuk ke kawasan masyarakat terpencil di Amazonas bagi tujuan memvaksinasi kumpulan populasi yang paling rentan di rantau berkenaan.
Sebilangan besar komuniti hutan mempunyai kemudahan perubatan yang tidak lengkap bagi merawat penduduk tempatan yang dijangkiti COVID-19.
Ia sekali gus menjadikan vaksinasi satu keperluan mendesak di kawasan itu.
Sekumpulan jururawat, pekerja sosial masyarakat dan pengawal keselamatan tiba dengan menaiki bot pada awal pagi Selasa di São João do Tupé, kira-kira 25 kilometer dari ibu kota Manaus, membawa puluhan dos vaksin AstraZeneca.
Adalah sukar untuk meyakinkan penduduk dari komuniti terpencil ini untuk mengambil vaksin, ketika penularan kes banyak berlaku dalam kalangan masyarakat di tepi sungai.
São João do Tupé merupakan sebuah kampung dengan 5,000 penduduk, di tepi sungai Rio Negro, berdekatan sebuah hutan simpan yang besar.
Vaksinasi dianggap sebagai kunci asas di Amazonas, negeri yang kini menjadi pusat krisis kesihatan COVID-19 di Brazil.
Data rasmi Kementerian Kesihatan menunjukkan angka kematian di negeri ini sekitar 224 per 100,000 iaitu jumlah hampir dua kali ganda dari rata-rata negara iaitu sekitar 114 per 100,000.
#Amazon #Brazil #COVID-19 #AstraZeneca #vaksin #kesihatan #perubatan #keselamatan #petugas kesihatan #Kementerian Kesihatan #Sungai #Orang Asli #komuniti hutan #Amazonas
;