COVID-19 : Pesakit umur lebih 80 tahun di Itali mungkin terpaksa 'dibiarkan mati'
Afiezy Azaman
Mac 20, 2020 10:20 MYT
Mac 20, 2020 10:20 MYT
Pesakit COVID-19 di Itali akan dinafikan akses kepada penjagaan intensif sekiranya mereka berumur lebih 80 tahun atau mempunyai keadaan kesihatan yang kurang baik, apabila hospital mengalami kekurangan katil.
Menurut satu dokumen disediakan Unit Pengurusan Krisis Turin yang dilihat oleh portal The Telegraph, langkah itu terpaksa diambil kerana hospital mungkin berhadapan kekurangan sumber peralatan untuk melakukan rawatan intensif.
Unit itu merangka protokol yang akan menentukan kategori pesakit yang akan diberi rawatan intensif dan sebaliknya, sekiranya ruang tidak mencukupi. Keadaan dikatakan semakin buruk di Itali apabila kapasiti penjagaan intensif tidak mencukupi dengan peningkatan kes COVID-19.
Sementara itu, dokumen lain oleh Bahagian Penjagaan Perlindungan Awam di Piedmont berkata, kriteria untuk mendapatkan rawatan intensif dalam kes kecemasan mestilah termasuk usia kurang daripada 80 tahun atau skor kurang daripad lima pada Indeks Charlson Comorbidity (yang menunjukkan berapa banyak khidmat perubatan lain yang pesakit perlukan).
Keupayaan pesakit untuk sembuh dan sedar juga akan dipertimbangkan, mengikut protokol berkenaan.
Seorang doktor enggan dikenali berkata: "Siapa yang hidup atau mati diputuskan oleh umur dan keadaan kesihatan pesakit. Ini seperti kita berada dalam keadaan perang," katanya.
Dokumen itu pula menyebut: "Peningkatan semasa wabak epidemik ini mengakibatkan ketidakseimbangan antara keperluan klinikal pesakit COVID-19 dengan sumber perkhidmatan perubatan intensif yang boleh diakses.
"Sekiranya mustahil untuk memberikan rawatan intensif kepada semua pesakit, satu kriteria perlu ditetapkan.
"Kriteria ini menetapkan garis panduan jika keadaan menjadi luar biasa untuk membuat pilihan, memaksa hospital menumpukan kepada kes-kes di mana kos atau manfaat lebih baik untuk rawatan klinikal,".
Ahli Majlis Kesihatan di Piedmont, Luigi Icardi berkata, tidak pernah menyangka terpaksa melihat keadaan seperti ini.
Protokol itu terpaksa digunapakai hanya jika keadaan memerlukan, katanya.
Dokumen itu kini telah lengkap dan hanya menunggu kelulusan daripada jawatankuasa teknikal saitifik sebelum ia dihantar ke hospital. Kriteria itu dijangka digunapakai di seluruh Itali, kata sumber kerajaan.
Angka korban akibat COVID-19 di Itali telah melebihi angka korban di China iaitu sebanyak 3,405 dengan lebih daripada 15,000 kes jangkitan.
Itali mempunyai 5,090 katil rawatan rapi, yang buat masa ini melebihi jumlah pesakit yang memerlukannya.
Negara itu juga sedang berusaha untuk mewujudkan kapasiti katil baharu di klinik swasta, rumah kejururawatan dan juga khemah-khemah.
Bagaimanapun, negara itu juga memerlukan doktor dan jururawat serta peralatan.
Lambardy kekal sebagai kawasan yang paling kritikal begitu juga di Piedmont.
Presiden Jawatankuasa Teknikal-Saintifik Coronavirus di Piedmont berkata kepada The Telegraph : "Di Piedmont, kami berhasrat untuk menangguhkan selama mungkin penggunaan kriteria ini. Saat ini masih ada tempat untuk rawatan intensif yang tersedia dan kami sedang berusaha membuatnya lebih banyak.
"Kami mahu melambatkannya selama mungkin ke titik di mana kita perlu memutuskan siapa yang hidup dan yang mati. Kriteria itu hanya berkaitan dengan akses kepada rawatan intensif, mereka yang tidak mendapat akses kepada rawatan intensif masih akan menerima semua rawatan yang ada. Dalam bidang perubatan, kita kadang-kala perlu membuat pilihan yang sukar tetapi penting untuk mempunyai sistem tentang cara membuatnya," jelas beliau.
#80 tahun
#COVID-19
#hidup
#Itali
#kondisi kesihatan
#Luigi Icardi
#mati
#penjagaan intensif
#pesakit
#Piedmont
#protokol
#The Telegraph
#usia