COVID-19: Pesakit melebihi 11 hari tidak berjangkit pada individu lain - Kajian Singapura
Astro Awani
Mei 24, 2020 19:14 MYT
Mei 24, 2020 19:14 MYT
Kajian bersama yang dilakukan oleh Pusat Kebangsaan Penyakit Berjangkit (NCID) Singapura dan Akademik Perubatan Singapura mendapati, pesakit COVID-19 yang telah melebihi 11 hari, tidak berisiko untuk menjangkiti individu lain.
The Japan Times News yang memetik pakar penyakit berjangkit Singapura menjelaskan, seseorang pesakit itu boleh diuji positif COVID-19 namun virus itu tidak akan berjangkit daripada pesakit yang melebihi 11 hari.
Kajian itu dilakukan berdasarkan pada 73 corak jangkitan di ibu kota berkenaan.
Penemuan terbaharu itu kemungkinan memberi kesan kepada kumulatif kes discaj di negara kota singa itu.
Meskipun begitu, sehingga kini hanya mereka yang disahkan negatif melalui ujian pengesahan sahaja yang dibenarkan discaj dari hospital dan bukannya berdasarkan keberjangkitan virus.
Setakat ini, 13,882 individu atau 46 peratus daripada seluruhan 31,068 pesakit COVID-19 di Singapura dibenarkan keluar dari hospital.
Dalam perkembangan yang sama, kerajaan sedang giat melakukan saringan ke atas kakitangan prasekolah sebagai persiapan untuk membuka semula sekolah berkenaan secara berperingkat mulai 2 Jun ini.
Jumaat lalu, dua kakitangan prasekolah disahkan positif COVID-19 dan menjadikan jumlah kumulatif kakitangan prasekolah yang dijangkiti virus tersebut meningkat kepada tujuh orang.
#Akademik Perubatan Singapura
#COVID-19
#NCID
#prasekolah
#Pusat Kebangsaan Penyakit Berjangkit
#Singapore
#Singapura
#The Japan Times News