COVID-19: Perubahan sekatan perjalanan di UK

Astro Awani
Februari 11, 2021 07:46 MYT
Seorang wanita lengkap bertopeng muka dan sarung tangan berjalan di platform kereta api di Stesen Waterloo, London, Britain, 18 Mei, 2020. - Gambar fail REUTERS
UNITED Kingdom bersiap-sedia untuk perubahan sekatan lebih ketat di sempadan bermula minggu depan.
Mana-mana individu yang tiba di England dan didapati berbohong mengenai lawatan ke negara dalam senarai larangan perjalanan kerajaan Britain akan berdepan hukuman penjara hingga 10 tahun.
Ini termaktub di bawah dasar sempadan koronavirus baharu yang diumumkan Selasa lalu.
Bermula Isnin, penduduk UK dan Ireland yang tiba di England dari tempat dalam senarai merah kerajaan perlu membeli pakej kuarantin berharga 1,750 pound atau RM9,776 setiap orang yang merangkumi penginapan, ujian saingan dan barangan lain.
Individu yang tidak mematuhi peraturan, termasuk mereka yang tiba dari negara senarai merah tanpa hotel yang ditempah, juga boleh dikenakan denda.
Pada masa ini, terdapat 33 negara, termasuk Afrika Selatan, Portugal dan seluruh Amerika Selatan dalam senarai perjalanan UK disebabkan kebimbangan varian baharu COVID-19.
Bagaimanapun, warganegara Britain dan Ireland, serta semua penduduk UK yang lain, dibenarkan masuk dengan syarat mereka mengasingkan diri selama 10 hari selepas ketibaan.
Bermula Isnin juga, mereka tidak boleh kuarantin di rumah, tidak seperti mereka yang datang dari negara yang tidak termasuk dalam senarai merah.
Sebaliknya, mereka harus membeli pakej kuarantin melalui portal dalam talian khusus.
Kerajaan berharap dengan pelaksanakan program vaksinasi dan langkah sekatan penutupan nasional yang berterusan dapat menurunkan jumlah kematian akibat COVID-19.
#United Kingdom #Britain #England #Portugal #koronavirus #COVID-19 #Afrika Selatan #varian baharu #program vaksinasi #dasar sempadan #sempadan #senarai merah #kuarantin #kuarantin di rumah #portal dalam talian #pakej #larangan perjalanan
;