COVID-19: AS pertimbang cadangan wajibkan pengunjung divaksinasi sepenuhnya

Astro Awani
Ogos 5, 2021 07:04 MYT
Menurut Jeff Zients, beberapa agensi sedang merangka pelan mengenai keperluan vaksin yang diterima untuk warga asing. -Gambar fail
WASHINGTON: White House sedang mempertimbang untuk mewajibkan pengunjung dari luar negara untuk divaksinasi sepenuhnya sebelum negara itu kembali membuka perjalanan antarabangsa.
Bagaimanapun, buat masa ini, sekatan perjalanan akan kekal berkuat kuasa.
Menurut koordinator COVID-19 White House, Jeff Zients beberapa agensi sedang merangka pelan mengenai keperluan vaksin yang diterima untuk warga asing.
"AS akan mengekalkan sekatan perjalanan yang ada pada ketika ini.
"Namun pelbagai agensi sedang membuat perancangan bilakah kita akan membuka perjalanan, bagaimana kita melakukannya dengan cara yang konsisten dan selamat.
"Sebahagian daripada rancangan itu ialah pendekatan bertahap yang mungkin dilakukan kepada warga asing yang datang ke AS.
"Masih ada beberapa polisi perlu dilakukan, mungkin memerlukan keperluan vaksin. Tetapi itu bukan keputusannya ketika ini. Itu antara langkah yang sedang diteliti," kata Zients.
AS melaksanakan sekatan perjalanan antarabangsa ke atas China pada Januari 2020.
Ia kemudian diperluaskan ke negara-negara lain bagi membendung wabak COVID-19.
White House sedang mengadakan perbincangan dengan syarikat penerbangan dan pihak lain mengenai bagaimana pelaksanaan dasar mewajibkan vaksin untuk warga asing.
White House juga perlu mempertimbangkan bukti sama ada AS akan menerima vaksin yang digunakan beberapa negara tetapi belum mendapat kelulusan FDA.
#Jeff Zients #White House #warga asing #China #COVID-19 #penerbangan #vaksin #Amerika Syarikat #AS
;