COVID-19: Pertambahan 1.47 juta kes baharu seluruh dunia dalam sehari

Astro Awani
Mac 21, 2022 00:45 MYT
Data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat masih kekal negara paling teruk terjejas dengan lebih 79 juta kes positif COVID-19. - Foto fail/REUTERS
JUMLAH keseluruhan kes jangkitan COVID-19 meningkat kepada 470 juta kes pada Isnin selepas 1.47 kes baharu dikesan di seluruh dunia dalam tempoh 24 jam lepas.
Data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat masih kekal negara paling teruk terjejas dengan lebih 79 juta kes.
Ini diikuti India dan Brazil dengan masing-masing merekodkan lebih 43 juta kes serta 29 juta.
Negara yang melepasi angka 24 juta kes adalah Perancis.
United Kingdom pula melebihi 20 juta, Jerman dan Rusia dengan lebih 17 juta kes, manakala Turki, Itali dan Sepanyol merekodkan kes melepasi angka 10 juta.
Di Asia Tenggara, Indonesia kekal merekodkan jumlah kes positif tertinggi dengan lebih 5.9 juta, diikuti Malaysia 3.9 juta kes dan Filipina 3.6 juta kes, manakala Thailand dengan 3.3 juta kes.
Singapura pula kini memasuki angka melebihi sejuta kes.
Sementara itu, berdasarkan data Johns Hopkins University, terdapat pertambahan lebih 3,000 kes korban direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat COVID-19 global kini melebihi 6.07 juta kes.
Amerika Syarikat merekodkan jumlah kematian tertinggi melebihi 971,000 kes, diikuti Brazil dengan lebih 657,000 kes, India lebih 516,000 kes dan Rusia lebih 357,000 kes.
Sementara Mexico kini catat lebih 322,000 kematian.
United Kingdom, Itali, Perancis, Jerman dan Sepanyol pula merekodkan lebih 100,000 kes kematian.
Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka kematian dengan lebih 153,000 kes korban.
Filipina di tangga kedua korban tertinggi dengan lebih 58,000 diikuti Malaysia dengan 34,000 kes.
Manakala Thailand dengan lebih 24,000 angka korban.
#COVID-19 #kes positif #kes kematian #Johns Hopkins University