COVID-19: Perompak tidak berhati perut, tisu tandas kena angkut

Razak Chik
Februari 17, 2020 00:18 MYT
Barangan lain tidak diusik, melainkan timbunan tisu tandas bernilai HK$1,000 (RM534) yang menjadi 'barangan idaman' perompak bertiga itu. - Gambar hiasan
MUNGKIN susah diterima akal sesetengah pihak tetapi percayalah, tisu tandas menjadi antara keperluan harian yang amat berharga apabila darurat melanda.
Itu agaknya motivasi tiga perompak yang melakukan perbuatan keji mereka pada awal pagi di daerah Mong Kok, Hong Kong pada Isnin.
Pemandu malang yang sedang memunggah lori sarat dengan muatan barangan untuk sebuah pasar raya dikelilingi tiga perompak yang mempunyai hanya satu sasaran.
Insiden rompakan bermula apabila mereka dilapor mengacu pisau ke arah pemandu lori itu di luar pasar raya Wellcome Supermarket, di kejiranan yang terkenal sebagai sarang kumpulan kongsi gelap.
Oleh kerana ruang pasar raya seluruh Hong Kong amat terhad kerana kota ini terkenal sesak, penghantaran barangan kerap dilakukan pada waktu kurang sesak. Ini lebih lebih lagi apabila berlaku pembelian secara 'panik' dalam kalangan warga Hong Kong akibat penularan wabak sekarang ini.
Barangan lain tidak diusik, melainkan timbunan tisu tandas bernilai HK$1,000 (RM534) yang menjadi 'barangan idaman' perompak bertiga itu.
Insiden ini didorong kegusaran yang timbul di Hong Kong sejak kes penularan COVID-19 mula melanda satu dunia.
Masih segar dalam ingatan rakyat Hong Kong tentang darurat akibat selesema Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2003 yang mengorbankan 299 nyawa warga Hong Kong.
Penularan COVID-19 berlaku tatkala reputasi Beijing dalam kalangan warga Hong Kong tercalar kerana enggan melayan tuntutan kumpulan pro-demokrasi secara aman.
Pihak berkuasa menuduh wujud usaha menyebarkan berita palsu termasuk kemungkinan darurat. Ini mendorong warga Hong Kong bergegas ke pasar raya untuk membeli barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak dan paling penting – tisu tandas!
#COVID-19 #koronavirus #mong kok #tiu tandas #wellcome supermarket
;