COVID-19: Perintah berkurung dilanjutkan, 2,500 kakitangan Qantas diberi cuti tanpa gaji
Khairunnisa Kasnoon
Ogos 3, 2021 04:20 MYT
Ogos 3, 2021 04:20 MYT
SYARIKAT Penerbangan Australia, Qantas akan mengurangkan 2,500 kakitangannya dengan cuti tanpa gaji susulan perintah berkurung yang dilaksanakan Sydney sekaligus memberi kesan kepada perjalanan udara ke seluruh Australia.
Cuti tanpa gaji tersebut turut melibatkan juruterbang, anak kapal serta pekerja lapangan terbang, akan berlangsung sekurang-kurangnya untuk tempoh dua bulan.
Syarikat penerbangan itu turut memaklumkan, semua yang terlibat akan menerima gaji hingga pertengahan Ogos.
"Ini tidak seperti tahun lepas di mana kami terpaksa memberhentikan lebih daripada 20,000 kakitangan.
Kami tidak meletakkan kapal terbang ke hibernasi dan lebih jelas, tiada sesiapa akan kehilangan pekerjaan dalam pengumuman hari ini.
Cuti tanpa gaji ini hanya sementara kerana kami memerlukan pekerja mahir apabila sekatan ini berakhir kelak,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Qantas, Alan Joyce dalam satu siding media.
Sejak Jun, jangkitan COVID-19 memaksa sebahagian besar Australia melaksanakan semula perintah berkurung.
Varian Delta yang menular memaksa penutupan di beberapa bandar dan penutupan di beberapa sempadan negeri.
Paling terkesan di Sydney yang menyaksikan kira-kira 200 jangkitan baharu setiap hari, walaupun sekatan dilaksnakan sejak 26 Jun lalu.
#Australia
#COVID-19
#jangkitan
#penerbangan
#perintah berkurung
#Sydney
#Qantas
#sekatan pergerakan