COVID-19: Percaya alkohol mampu menyembuhkan, 300 maut di Iran
Agensi
Mac 27, 2020 18:43 MYT
Mac 27, 2020 18:43 MYT
MEDIA Iran melaporkan hampir 300 orang maut dan lebih daripada 1,000 sedang dirawat selepas minum alkohol yang mengandungi metanol, yang dipercayai mampu menyembuhkan mereka daripada COVID-19.
Kemujaraban 'ubat palsu' itu mula disebarkan pihak tidak bertanggungjawab di laman sosial di seluruh Iran.
Sebuah laman sosial pada mulanya melaporkan seorang guru di Britain berjaya sembuh dari virus itu selepas minum campuran wiski dan madu.
Ia kemudiannya menjadi tidak terkawal apabila ada pihak mendakwa alkohol boleh menyembuhkan, susulan terdapatnya campuran alkohol dalam pencuci tangan atau hand sanitizer.
"Virus itu tersebar dengan cepat dan ramai yang maut, jadi ramai mula panik sehingga tidak berfikir panjang," kata Dr. Knut Erik Hovda, ahli toksikologi klinikal di Oslo yang mengkaji keracunan metanol dan ketakutan berkenaan wabak itu Iran.
Ketakutan terhadap virus itu, ditambah pula dengan tahap pendidikan yang kurang baik penduduk serta khabar angin di internet, menyaksikan ramai yang jatuh sakit kerana minum alkohol yang mengandungi metanol di wilayah Khuzestan dan Shiraz.
Iran melaporkan lebih 29,000 kes positif COVID-19 dan lebih 2,200 kematian, angka tertinggi bagi negara di Asia Barat.