COVID-19: Perancis mula guna pas khas, bolehkan rakyat gerak bebas

Astro Awani
Julai 26, 2021 08:46 MYT
Perancis juga akan memulakan caj pembayaran bagi ujian saringan yang sebelum ini diberikan secara percuma oleh kerajaan. - Foto AP/Rafael Yaghobzadeh
PARIS: Sebuah resort tepi laut yang terletak di Marseille, Perancis telah memulakan operasinya selepas pas khas COVID-19 diperluaskan ke beberapa kawasan di negara itu.
Presiden Emmanuel Macron mengumumkan minggu lalu pas khas COVID-19 ini akan diwajibkan bermula Ogos bagi mereka yang ingin berkungjung ke bar, restoran, pusat membeli-belah atau menaiki kereta api dan pesawat serta untuk tujuan saringan dan vaksinasi.
Beberapa bilik ujian saringan, telah dibuka bermula 10 pagi di Resort Carry-le-Rouet bagi membolehkan pengunjung yang tidak mengambil vaksin untuk melakukan saringan COVID-19 secara pantas.
Ini bagi memudahkan mereka melakukan aktiviti di kawasan tertutup dan terbuka.
Pada hari pembukaan, 308 ujian dilakukan di pusat ini dan jumlahnya semakin meningkat dengan kedatangan semakin ramai pelancong.
Bagaimanapun, bagi mendapatkan pas khas COVID-19, warga Perancis perlu menunjukkan bukti vaksinasi lengkap, ujian terkini saringan atau baru pulih daripada jangkitan.
Perancis juga akan memulakan caj pembayaran bagi ujian saringan yang sebelum ini diberikan secara percuma oleh kerajaan.
Lebih dari 111,000 warga Perancis maut akibat wabak COVID-19 dan negara itu masih mencatatkan sekitar 20,000 jangkitan sehari.
#COVID-19 #Pas Khas #resort #pelancong #ujian saringan
;