COVID-19: Perancis laksana perintah berkurung di 9 wilayah bermula Sabtu
Astro Awani
Oktober 15, 2020 08:20 MYT
Oktober 15, 2020 08:20 MYT
PARIS: Perintah berkurung akan dilaksanakan semula di sembilan wilayah di Perancis.
Presiden Emmanuel Macron mengumumkan perintah tersebut berkuat kuasa Sabtu ini hingga 1 Disember.
Jelas Macron, penduduk di kawasan terlibat tidak dibenarkan keluar rumah dari jam 9 malam hingga 6 pagi.
"Kita perlu bertindak bagi mengekang penularan virus ini.
"Pertama, untuk melindungi orang lain, serta diri kita juga... untuk melindungi warga emas, golongan yang paling berisiko. Itu objektif pertama.
"Kedua, kita perlu melindungi sistem kesihatan negara, petugas-petugas kesihatan kita," kata Macron.
Antara kawasan yang dikenakan perintah berkurung termasuk Paris, Grenoble, Lyon, Toulouse dan Montpellier.
Langkah yang dikenakan ini bakal memberi kesan kepada seramai 18 juta penduduk.
Setakat ini, satu pertiga daripada keseluruhan unit rawatan rapi di Perancis digunakan untuk merawat pesakit COVID-19.
Perancis kini berdepan dengan gelombang baharu kes COVID-19 dengan 22,591 kes baharu direkodkan pada Rabu.
#perintah berkurung
#Emmanuel Macron
#COVID-19
#Paris
#unit rawatan rapi
#warga emas
#gelombang baharu