COVID-19: Perancis laksana kempen vaksinasi remaja bermula 15 Jun

Astro Awani
Jun 3, 2021 08:28 MYT
Emmanuel Macron berkata bermula 15 Jun ini, remaja berusia 12 hingga 18 tahun akan dibenar mendapatkan vaksin. -Gambar fail
PARIS: Perancis akan memulakan kempen vaksinasi remaja seawal usia 12 tahun dengan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech bermula 15 Jun ini.
Langkah itu dilihat sebagai usaha untuk mengelakkan penutupan sekolah pada bulan September disebabkan risiko COVID-19.
Jumlah kes positif baharu di Perancis sebanyak 10,000 untuk dua hari berturut-turut dan jumlah kematian menurun sejak minggu lalu.
Ini sekali gus mengurangkan tekanan di hospital ketika kempen vaksinasi dipertingkat.
Perancis mulakan vaksinasi akhir tahun lalu dengan keutamaan kepada rumah jagaan, golongan risiko dan morbiditi sebelum dibuka bermula 31 Mei kepada individu berusia 18 tahun ke atas.
Presiden Emmanuel Macron berkata, bermula 15 Jun, remaja berusia 12 hingga 18 tahun akan dibenar mendapatkan vaksin.
Menteri Kesihatan, Olivier Veran berkata remaja akan diberi suntikan Pfizer di pusat vaksinasi besar secara sukarela yang mememerlukan persetujuan ibu bapa.
Katanya, enam juta remaja telah divaksin di Amerika Syarikat (AS) dan Jerman juga melakukan perkara yang sama.
Suruhanjaya Eropah membenarkan vaksin Pfizer digunakan pada remaja berumur 12 tahun, membuka jalan untuk pelancaran yang lebih luas di blok 27 negara setelah pembukaan yang serupa di AS dan Kanada.
#sekolah #bank #kes positif #COVID-19 #vaksin #jumlah kematian #Pfizer-BioNTech #suntikan #Emmanuel Macron #Amerika Syarikat #Pfizer
;