COVID-19: Penumpang 'kes positif' atas kapal Royal Caribbean rupa-rupanya negatif
Saraya Mia
Disember 10, 2020 22:48 MYT
Disember 10, 2020 22:48 MYT
SINGAPURA: Seorang penumpang kapal persiaran Royal Caribbean yang disyaki positif COVID-19 pada Rabu, didapati negatif daripada virus tersebut.
Perkara itu disahkan Kementerian Kesihatan Singapura pada Khamis.
“Ujian pengesahan mendapati bahawa lelaki warga Singapura berusia 83 tahun tidak dijangkiti COVID-19, namun akan teruskan usaha menjalani ujian saringan terhadap baki penumpang kapal tersebut,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, lelaki warga emas itu disyaki dijangkiti COVID-19 selepas melaporkan diri kepada petugas perubatan di atas kapal Quantum of the Seas itu selepas mengalami gejala cirit-birit.
Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak berkuasa mengarahkan hampir 1,700 penumpang kapal yang telah berlayar di perairan Singapura itu untuk menjalani isolasi di dalam kabin sambil aktiviti pengesanan kontak dijalankan.
Susulan itu, ujian saringan awal mendapati lelaki itu positif COVID-19. Dia kemudiannya dibawa ke sebuah hospital di Singapura untuk mengambil ujian seterusnya, di mana dia didapati negatif.
Ujian saringan COVID-19 untuk kali ketiga turut memberikan keputusani negatif, sekali gus mengesahkan lelaki itu bebas daripada virus tersebut.
Dalam pada itu, pihak berkuasa berkata insiden itu merupakan satu pengajaran selain membuktikan keberkesanan protokol sedia ada.
“Insiden pada Rabu itu telah mengajar kami untuk lebih bersedia di masa hadapan, dan ia turut membuktikan bahawa pihak kami telah memberi respons yang cekap dan berkesan dalam menangani penularan COVID-19,” kata ketua Lembaga Pelancongan Singapura, Keith Tan.