COVID-19: Penularan terbaharu di Macau jejas ekonomi, namun kasino terus dibuka
Agensi
Jun 20, 2022 14:30 MYT
Jun 20, 2022 14:30 MYT
HONG KONG: Hab perjudian terbesar dunia, Macau memulakan hari kedua ujian saringan berskala besar COVID-19 hari ini selepas puluhan kes penularan tempatan dikesan pada hujung minggu lalu.
Banyak perniagaan diarahkan tutup tetapi kasino masih dibuka.
Saringan ke atas kira-kira 600,000 penduduk Macau dijangka berakhir pada hari Selasa kerana wilayah yang ditadbir China itu mematuhi dasar "sifar COVID" China, bertujuan membasmi wabak berkenaan secara menyeluruh.
Penduduk diminta berada di rumah, restoran ditutup dan sekatan sempadan telah diperketatkan, yang bermakna pendapatan kasino mungkin mengalami penurunan secara drastik untuk sekurang-kurangnya seminggu akan datang, kata penganalisis.
Saham kasino Macau jatuh pada pagi Isnin dengan Sands China mendahului kejatuhan jatuh melebihi 8 peratus, penurunan terbesar sejak 15 Mac.
Kerajaan Macau bergantung pada kasino yang menyumbang lebih 80 peratus pendapatannya, dengan kebanyakan penduduk bekerja secara langsung atau tidak langsung dalam industri kasino.
Penularan terbaharu itu datang secara tiba-tiba dan merebak dengan pantas, namun punca dan sumbernya masih tidak diketahui, kata Ketua Eksekutif Macau, Ho Iat Seng dalam satu kenyataan.
Kali terakhir COVID-19 menular di Macau ialah pada Oktober tahun lalu. Setakat ini, lebih 1 juta jangkitan disahkan, dengan lebih 9,000 kematian.