COVID-19: Peningkatan kes global amat membimbangkan
Astro Awani
Mac 17, 2022 11:40 MYT
Mac 17, 2022 11:40 MYT
DATA menunjukkan peningkatan kes COVID-19 global secara drastik boleh menandakan masalah yang lebih besar.
Apatah lagi selepas beberapa negara merekodkan penurunan kadar ujian saringan.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi peringatan supaya semua negara terus berwaspada terhadap ancaman virus tersebut.
Selepas sebulan menunjukkan penurunan, kes harian COVID-19 kembali mencatatkan peningkatan sekitar minggu lepas.
Malah banyak negara di Asia mula menguatkuasakan sekatan termasuk di wilayah Jilin, China.
Beberapa faktor turut menyumbang kepada peningkatan kembali kes termasuk penularan varian Omicron yang lebih pantas merebak dan varian BA.2.
Ia termasuk kelonggaran sekatan dan kebenaran majlis sosial.
Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus menyifatkan perkara ini sebagai amat membimbangkan.
Kadar vaksinasi rendah di beberapa negara dan maklumat tidak benar juga antara punca peningkatan kembali kes.
Untuk rekod, peningkatan semula kes melonjak sehingga 8 peratus secara global berbanding minggu lepas dengan 11 juta kes baharu direkodkan.
Pada masa sama, lebih 43,000 kematian dicatatkan dari 7 hingga 13 Mac.