COVID-19: Peningkatan kes dua kali ganda di Eropah dalam 3, 4 hari - WHO

Astro Awani
April 10, 2020 11:00 MYT
Kerkhove menegaskan ujian saringan dan pengesanan COVID-19 adalah amat penting untuk menentukan situasi semasa pandemik berkenaan. Gambar fail/ AP.
KES-kes koronavirus di Eropah meningkat dua kali ganda, setiap tiga sehingga empat hari, kata wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Maria Van Kerkhove.
Jelasnya, pakar sentiasa memantau dan mengenal pasti bilangan kes COVID-19 yang dilaporkan setiap hari untuk memahami berapa cepat bilangan tersebut menjadi berganda.
"Sekarang, di seluruh Eropah, masa penggandaan adalah antara tiga sehingga empat hari. Itu adalah tempoh yang sangat cepat," kata Van Kerkhove.
Beliau juga menegaskan pentingnya ujian untuk menentukan penyebaran wabak secara global.
"Jika anda melihat negara-negara yang mempunyai kadar positif 30 peratus daripada jumlah ujian keseluruhan yang dijalankan, itu bermakna terdapat banyak kes di sana.
"Bagaimanapun, jika anda melihat negara-negara yang mempunyai kadar positif hanya satu peratus, itu bermakna mereka sebenarnya perlu mengenal pasti lebih banyak kes," kata Van Kerkhove.
Katanya, kadar positif merujuk kepada peratusan hasil positif daripada keseluruhan jumlah ujian yang dilakukan di negara terbabit.
#COVID-19 #eropah #kesihatan #negara #saringan #ujian #Van Kerkhove #wakil who #WHO
;