COVID-19: Peniaga siap sedia buka kembali perniagaan di UK

Astro Awani
April 11, 2021 07:33 MYT
Pekerja sedang bersedia untuk membuka semula restoran ketika kerajaan mula melonggarkan sekatan susulan penularan COVID-19 di London, Britain, 9 Apr, 2021. REUTERS
SEKTOR runcit tidak penting di England kini sedang bersiap sedia untuk dibuka semula setelah beberapa bulan tidak dibenar berbuat demikian susulan pelaksanaan sekatan bagi mengekang penularan COVID-19.
Perkhidmatan seperti pub dan restoran, salun rambut dan gimnasium dibenarkan dibuka semula mulai Isnin (12 Apr), ketika kes dilaporkan menurun dan separuh populasi orang dewasa sudah menerima dos pertama vaksin COVID-19.
Beberapa pemilik perniagaan di London mengharapkan kehadiran ramai pelanggan.
"Walaupun dengan jarak sosial di sini, kami bertuah dengan ruang yang cukup besar, kita masih dapat beroperasi pada satu perlima daripada kapasiti kita.
"Ini merupakan satu keperluan, bahawa kita dapat kembali mengendalikan perdagangan penuh secepat mungkin.
"Bagaimanapun ada beberapa peniaga masih ragu-ragu bahawa peniagaan mereka akan rancak seperti dahulu memandangkan tiada pelancong ketika ini,” kata pengurus jualan pub, Matt Luty.
Nada sama disuarakan penjual bunga, Melvin Taylor:
"Waldorf dan Hotel Savoy, tidak akan dibuka sehingga 17 Mei. Oleh itu, jika tidak ada orang yang tinggal di sini dan pasti tidak ada teater, saya fikir ia akan memakan masa lebih lama, terutama di Central London.
"Lihat jalan-jalan di sini, ia kosong. Satu-satunya orang yang berjalan-jalan, sukar dipercayai, adalah penjaga kenderaan. Tidak ada kereta, tidak ada orang," jelasnya.
Pada satu ketika, England mencatat kes jangkitan baharu COVID-19 yang sangat tinggi sehingga sekatan kedua dan ketiga terpaksa diumumkan.
Bukan itu sahaja, kes varian baharu juga penyumbang kes tinggi di beberapa kawasan di United Kingdom, tanpa terkecuali England.
#London #England #pelancong #peniaga #COVID-19 #vaksin #jarak sosial #varian baharu #hotel #United Kingdom #dos vaksin #suntikan #perdagangan #Peniagaan #pembukaan semula ekonomi
;