COVID-19: Pengusaha restoran di China bergelut pulih perniagaan

Astro Awani
April 17, 2020 08:13 MYT
COVID-19 yang melanda China pada Disember, memaksa jutaan rakyatnya untuk lebih berhati-hati keluar dari rumah. - Gambar REUTERS
Pasca perintah berkurung di China memberi impak yang besar buat rakyatnya.
Li Meng seorang pengusaha restoran, antara yang terkesan.
Dia membuka cawangan restoran yang ketiganya di Beijing pada penghujung 2019 dengan menggunakan kesemua simpanan hasil dari dua restorannya yang terdahulu.
Namun, semuanya berdepan kesukaran susulan penularan wabak COVID-19.
“Semuanya seperti mimpi, tiba-tiba semua terhenti. Kita tidak mempunyai sebarang pilihan tetapi duduk di rumah.
“Bila tempat ini sudah siap, ia memberi banyak kelebihan dan pelanggan yang ramai. Namun semuanya terhenti bila kita sudah bersedia untuk berkembang,” katanya.
Selepas dua bulan beroperasi, dia terpaksa menutup restorannya dan kerugian lebih daripada AS$280,000 (kira-kira RM1.2 juta).
Pada 25 Mac lalu, dia membuka semula restorannya, namun terpaksa menanggung kerugian setiap hari kerana kekurangan pengunjung.
“Kami kerugian setiap hari. Walaupun perniagaan dibuka semula, ia mengambil masa untuk perniagaan ini pulih dalam keadaan semasa.
“Ia sukar untuk kami. Saya rasa kami akan ambil masa kira-kira tiga bulan untuk semuanya pulih semula. Pada masa itu, orang ramai akan mula keluar,” jelasnya.
COVID-19 yang melanda China pada Disember tahun lalu memaksa jutaan rakyatnya untuk lebih berhati-hati keluar dari rumah.
Ketua Ekonomi di Institut Kewangan Rushi, Zhu Zhenxin melihat orang ramai akan mula berhati-hati dalam berbelanja selepas pendapatan mereka merosot.
Malah, katanya, situasi itu juga dijangka memberi kesan jangka panjang.
#China #COVID-19 #ekonomi #koronavirus #Li Meng #pengusaha restoran #perintah berkurung #perniagaan #restoran #virus
;