COVID-19: Penghantaran vaksin melalui COVAX masih rendah - WHO
Astro Awani
Mac 5, 2021 07:37 MYT
Mac 5, 2021 07:37 MYT
GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa penghantaran vaksin COVID-19 melalui program COVAX masih rendah.
Kebimbangan itu disuarakan Ketua Pengarahnya Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus ketika negara lain berlumba untuk menyuntik seluruh populasi mereka.
Jelas Dr Tedros, dunia ketika ini telah memasuki fasa penting untuk inisiatif kolaboratif bertujuan menghasilkan 2 bilion dos pada akhir 2021.
"Ini kemajuan, tetapi jumlah yang diedarkan melalui COVAX masih kecil.
"Pusingan pertama meliputi di antara dua dan tiga peratus populasi negara-negara yang menerima vaksin melalui COVAX.
"Salah satu keutamaan kami sekarang adalah peranan COVAX untuk membantu semua negara mengakhiri wabak ini.
"Ini bermaksud tindakan segera untuk meningkatkan pengeluaran," kata Dr Tedros.
Sementara itu Penasihat Kanan Ketua Pengarah, Bruce Aylward berkata cabaran terbesar adalah kebenaran kawal selia dan peruntukan liabiliti untuk penggunaan vaksin.
"Beberapa cabaran terbesar adalah menerapkan penguatkuasaan peraturan untuk produk ini, serta apa yang kita sebut sebagai ganti rugi peruntukan liabiliti untuk penggunaan produk ini.
"Penguatkuasaan peraturan harus ada. Proses ganti rugi harus dilaksanakan. Program vaksinasi nasional harus dilaksanakan.
"Setelah semua itu dilaksanakan, kita harus dapat menghubungkannya dengan penghantaran, logistik, pesanan pembelian, dan sebagainya.
"Oleh itu, ini adalah proses yang cukup rumit," katanya.
#COVID-19
#kesihatan
#Pertubuhan Kesihatan Sedunia
#vaksin
#WHO
#Tedros Adhanom
#COVAX
#Bruce Aylward
#Program vaksinasi nasional