COVID-19: Pengeluaran vaksin Afrika Selatan kunci melawan virus - WHO

Astro Awani
Februari 12, 2022 11:26 MYT
Tedros bercakap pada sidang media selepas melawat Institut Penyelidikan Biomedical di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Stellenbosch di kampus Tygerberg, Cape Town, 11 Feb 2022. (AP)
USAHA Afrika Selatan menghasilkan vaksin adalah kunci dalam membantu benua Afrika menjadi lebih berdikari dalam inokulasi memerangi COVID-19 dan banyak penyakit lain.
Ketua Pengarah WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, lebih separuh penduduk dunia kini telah divaksin sepenuhnya, namun 84 peratus daripada penduduk Afrika masih belum menerima satu dos pun.
"Kejayaan saintifik ini dicemari ketidaksaksamaan yang besar dari segi akses vaksin," katanya kepada media ketika mengadakan lawatan kerja di Cape Town pada Jumaat.
Beliau hadir bagi meninjau tiga fasiliti yang memulakan usaha mengeluarkan vaksin di ibu negara Afrika Selatan itu.
"Kebanyakan ketidaksamaan ini didorong hakikat bahawa di peringkat global, pengeluaran vaksin kebanyakannya tertumpu di negara-negara berpendapatan tinggi," tambahnya.
Beiau turut dijadualkan melawat makmal Afrigen yang menerima sokongan daripada WHO untuk mencipta vaksin COVID-19.
Tedros menambah, terdapat "keperluan mendesak" untuk meningkatkan pengeluaran vaksin tempatan di negara berpendapatan rendah dan sederhana.
Sementara itu, fasiliti Afrigen mendapat sokongan daripada WHO dan beberapa rakan kongsi lain termasuk kerajaan Afrika Selatan, Perancis dan Belgium.
Inisiatif ini juga disokong Pusat Kawalan Dan Pencegahan Penyakit Afrika.
Tedros berkata, ujian klinikal untuk calon vaksin yang dibangunkan oleh Afrigen dijangka bermula pada 2022 dan diharap mendapat kelulusan penggunaan pada 2024.
#Afrika Selatan #vaksin #COVID-19 #akses vaksin tidak saksama
;