COVID-19: Pengedaran vaksin tidak saksama ancaman buat negara miskin - WHO

Astro Awani
Januari 18, 2021 05:59 MYT
DR GHEBREYESUS: Kita perlu bekerjasama sebagai satu keluarga global untuk beri keutamaan kepada mereka yang paling berisiko dijangkiti penyakit berbahaya dan kematian di semua negara. -AP
GENEVA: Tidak adil bagi populasi muda dan berkemampuan di negara kaya mendapat vaksin berbanding warga emas di negara miskin.
Tegas Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, ketika ini ada situasi di mana hanya 25 dos diberikan kepada salah satu negara berpendapatan rendah.
Tambahnya, dunia harus bersatu dan memastikan mereka yang sangat berisiko mendapat vaksin.
"Memang wajar bagi semua kerajaan meletakkan kepentingan memvaksinasi petugas kesihatan dan warga tua terlebih dahulu.
"Tetapi adalah tidak wajar apabila orang dewasa yang muda dan sihat di negara kaya divaksin sebelum petugas kesihatan dan warga tua di negara miskin.
"Vaksin ini mencukupi untuk semua orang. Tetapi sekarang kita perlu bekerjasama sebagai satu keluarga global untuk beri keutamaan kepada mereka yang paling berisiko dijangkiti penyakit berbahaya dan kematian di semua negara," kata Dr Ghebreyesus.
Tegasnya, pewujudan vaksin dalam masa setahun adalah pencapaian yang baik, namun pengedaran yang tidak saksama mewujudkan risiko peningkatan ketidaksamarataan antara negara kaya dan miskin.
Beliau dalam masa yang sama turut mengkritik tindakan syarikat vaksin yang melakukan perjanjian dua hala dengan negara individu.
Tegasnya, ini mampu mengurangkan keberkesanan kemudahan multilateral COVAX yang diwujudkan untuk memastikan vaksin diberikan kepada semua negara berdasarkan keperluan.
"Tatkala vaksin pertama diedarkan, resolusi akses setara tidak dicapai. Lebih 39 juta dos vaksin kini telah diberikan kepada sekurang-kurangnya 49 negara bependapatan tinggi.
"Hanya 25 dos diberikan kepada negara berpendapatan paling rendah. Bukan 25 juta, bukan 25,000, hanya 25.
"Saya perlu tegas. Dunia kini gagal secara moralnya. Dan nyawa serta kehidupan mereka di negara termiskin akan menerima padah daripada kegagalan ini.
"Bukan sahaja tindakan 'saya dahulu' ini menyebabkan mereka di negara termiskin dan paling terjejas berdepan risiko, ia juga usaha yang sia-sia.
"Akhirnya, tindakan ini akan memanjangkan lagi pandemik, menambahkan lagi derita, kawalan untuk mengekangnya, selain penderitaan manusia serta ekonomi.
"Kesaksamaan vaksin ini bukan sahaja perlu dipatuhi daripada segi moral. Ia juga penting daripada segi strategik dan enkonomi," kata Dr Ghebreyesus.
Beliau dalam pada itu mendedahkan 44 perjanjian bilateral di antara pengeluar vaksin dan negara ditandatangani tahun lepas dengan 12 lagi pada tahun ini.
Ini menurutnya, meningkatkan harga dan keuntungan syarikat vaksin.
Dr Ghebreyesus menegaskan situasi ini diburukkan lagi apabila pengeluar memfokuskan kepada mendapatkan kelulusan di negara kaya dengan untung yang tinggi daripada membuat laporan penuh kepada WHO.
Ini mengurangkan data yang diterima WHO daripada pengeluar vaksin, lantas melambatkan kelulusan agensi itu untuk penggunaan kecemasan vaksin yang lebih meluas.
#COVID-19 #warga emas #Switzerland #WHO #vaksin #tidak saksama #tidak adil #pengedaran #Tedros Adhanom Ghebreyesus
;