COVID-19: Penduduk Shanghai bertengkar dengan polis, rayu tidak dibawa pergi
Astro Awani
April 15, 2022 09:10 MYT
April 15, 2022 09:10 MYT
SHANGHAI: Situasi di Shanghai masih buruk berikutan peningkatan kes koronavirus dan penutupan bandar itu.
Pada Khamis, tular di media sosial penduduk Shanghai bertengkar dengan polis yang berpakaian hazmat.
Pengguna laman web microblogging China Weibo mendakwa, pihak berkuasa tempatan meminta beberapa bangunan kediaman di daerah Zhangjiang, Pudong untuk pesakit COVID-19.
Mereka turut berkongsi video penduduk berlutut di atas tanah memohon polis supaya tidak membawa mereka pergi.
Seorang pengguna Weibo berkata pada mulanya, pihak berkuasa hanya menggunakan bangunan kosong, tetapi sejak kebelakangan ini mereka mula memaklumkan penyewa di bangunan lain untuk mengosongkan apartmen mereka.
Tidak jelas sama ada terdapat rancangan untuk memindahkan mereka ke tempat lain.
Komuniti kediaman Zhangjiang Nashi International ialah projek perumahan bertujuan untuk menyediakan pekerja berkemahiran tinggi berkelayakan yang bekerja di daerah itu dengan pangsapuri sewa mampu milik.
Sekurang-kurangnya 20 polis kelihatan cuba meleraikan orang ramai yang membuat protes di satu persimpangan dan ada yang mengheret penduduk ke tengah jalan.
Penduduk boleh didengari dalam video yang menuntut polis membebaskan warga emas.
Seorang wanita berlutut sambil menangis dan merayu.