COVID-19: Penduduk Kuala Sanglang lakukan sanitasi rumah ke rumah

Salim Aziz
Ogos 15, 2021 06:34 MYT
20 individu yang mewakili kampung masing-masing, bergerak serentak melakukan semburan. - Astro AWANI
KANGAR: Bimbang dengan penularan jangkitan COVID-19 yang meningkat sejak kebelakangan ini, penduduk Kuala Sanglang di Kangar, Perlis mengambil inisiatif sendiri dengan melakukan sanitasi dari rumah ke rumah.
Operasi sanitasi itu dilakukan di pekan Kuala Sanglang, Kampung Datuk Keramat, Kampung Tanah Timbul dan Kampung Lorong Surau, yang melibatkan keseluruhan 356 buah rumah.
Gotong-royong itu dilakukan bagi memastikan kawasan berkenaan bebas daripada sebarang ancaman penularan pandemik COVID-19.
20 individu yang mewakili kampung masing-masing, bergerak serentak melakukan semburan manakala beberapa individu lain membantu membuat hebahan kepada penduduk setempat.
Penduduk yang ditemui memuji inisiatif berkenaan dan tindakan pantas mereka melakukan sanitasi selepas terdapat kes COVID-19 di kawasan berdekatan.
Pada September tahun lalu, penduduk di Kuala Sanglang pernah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat Secara Bersasar (TEMCO).
Disebabkan itu, mereka kini lebih berhati-hati kerana tidak mahu kejadian seumpamanya berulang dan mengambil langkah ‘hanya keluar jika ada urusan’ bagi mengelakkan jangkitan wabak berkenaan.
#COVID-19 #sanitasi #Penduduk #gotong-royong #Kuala Sanglang #semburan
;