COVID-19: Penduduk China dengan imunisasi lemah bakal jadi sasaran gelombang kedua - Pakar
Agensi
Mei 18, 2020 16:26 MYT
Mei 18, 2020 16:26 MYT
China dijangka berdepan dengan gelombang kedua jangkitan COVID-19 yang disebabkan oleh sistem imunisasi penduduknya yang lemah.
CNN yang memetik Ketua Penasihat dan Penyelidik Kanan Kerajaan China, Dr Zhong Nanshan sebagai berkata, meskipun China dilihat berjaya mengekang penularan virus pandemik itu, namun 'serangan' ke atas beberapa kumpulan komuniti baharu di wilayah timur laut Heilongjiang dan Jilin mencetuskan kebimbangan kemungkinan berlakunya gelombang kedua.
Beliau yang juga pakar epidemiologi China bertanggungjawab menemui koronavirus Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2003 menjelaskan kerajaan China tidak seharusnya leka dengan kadar pemulihan pesakit COVID-19 sebelum ini.
Sebaliknya, gelombang kedua ini katanya, berkemungkinan boleh membawa bencana yang lebih besar.
"Majoriti daripada penduduk China pada ketika ini masih boleh dijangkiti virus berkenaan ekoran sistem imunisasi mereka yang lemah," katanya dalam temuramah eksklusif dengan CNN.
Dr Zhong juga memberi amaran yang gelombang ini mungkin akan lebih buruk berbanding negara-negara lain.
Beliau memberitahu, vaksin yang benar-benar sempurna untuk melawan pandemik yang disifatkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai penyakit yang tidak akan hilang itu barangkali akan memakan tempoh bertahun-tahun.
Beliau sebelum ini mendakwa kerajaan China tidak mendedahkan jumlah sebenar pada awal penularan virus itu.
"Mereka tidak mahu terima hakikat apabila saya memaklumkan jumlah sebenar yang terkesan dengan virus ini sebenarnya lebih besar," katanya.
Zhong menjelaskan, beliau menjadi sedikit meragui dengan data yang dikeluarkan oleh kerajaan China sedangkan virus itu sudah menular ke negara-negara lain.
"Bagaimana data tidak menunjukkan sebarang perubahan dengan 41 kes untuk 10 hari berturut-turut," ujarnya. - Agensi