COVID-19: Pelarian Rohingya dikuarantin dalam bangsal di Bangladesh
Adie Sufian Zulkefli
April 12, 2020 13:48 MYT
April 12, 2020 13:48 MYT
Hanya dikuarantin di dalam bangsal dan ditinggalkan tanpa pemeriksaan doktor.
Itu yang terjadi di Kem Tahanan Cox's Bazar di Bangladesh apabila mereka yang diasingkan untuk tujuan saringan ditempatkan di dalam bangsal sebelum kembali semula ke kem selepas itu.
Terbaru, kerajaan negara itu mengenakan sekatan penuh di kawasan itu, yang menempatkan lebih satu juta pelarian Rohingya dari Myanmar, bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.
Perkara itu didedahkan Presiden Persatuan Rohingya Kedah/Perlis, Yussof Ali, yang turut menyatakan kerajaan Bangladesh memberi amaran bahawa wabak berkenaan akan merebak dengan pantas.
Ini kerana, keadaan di kem berkenaan sesak dan padat, selain persekitarannya yang kurang bersih.
"Bangsal baru buat, kalau di negara ini - Malaysia, Thailand atau Myanmar, itu tidak apa. Mereka ada barang sendiri.
"Tetapi ini di satu tempat kecil, dan sekarang sudah hampir 1.3 juta orang di sana. Mereka sudah tidak boleh kawal lagi.
"Saya takut ini semua terjadi. Kita kena bantu dari segi ubat-ubatan. Kena doa kepada Tuhan agar tidak terjadi apa-apa di sana," kata Yussof ketika ditemui di sini.
Jelasnya, kekurangan infrastruktur seperti tandas yang sempurna juga menjadi masalah di kem berkenaan.
Menurutnya, tiada sebarang aktiviti keluar masuk dibenarkan di kawasan itu sehingga keadaan semakin baik.
Yussof bimbang dengan tahap kesihatan dan makanan pelarian Rohingya ini selepas pihak berkuasa mengadakan sekatan jalan raya di laluan utama, selain rondaan sekitar kem yang menempatkan kira-kira 1.3 juta penduduk.
#Bangladesh
#bangsal
#COVID-19
#Cox Bazaar
#kem tahanan
#kerajaan
#kesihatan
#koronavirus
#kuarantin
#Myanmar
#pelarian
#pemeriksaan
#Persatuan Rohingya Kedah Perlis
#polis
#Rohingya
#sekatan
#sesak
#Yussof Ali