COVID-19: Pelancong China ke New Zealand tidak perlu tunjuk keputusan negatif
Faida Rahim
Januari 4, 2023 15:50 MYT
Januari 4, 2023 15:50 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan New Zealand memaklumkan pelancong dari China tidak perlu menunjukkan keputusan negatif ujian COVID-19 sejurus kemasukan ke negara itu.
Memetik laporan CNA, Menteri Hal Ehwal COVID-19, Ayesha Verrall dalam satu kenyataan memaklumkan penilaian risiko kesihatan awam menyimpulkan pengunjung dari China tidak akan menyumbang kes ketara kepada jumlah kes di negara itu.
“Risiko kesihatan awam minimum untuk masuk ke New Zealand,” katanya.
Dalam pada itu, beberapa negara termasuk Britain, Amerika Syarikat dan Australia meminta para pelancong dari China menunjukkan keputusan ujian negatif COVID-19 dalam mengekang wabak serta masih ragu terhadap statistik kesihatan di Beijing.
Dalam masa sama, langkah itu dikritik hebat oleh media negara China yang disifatkan sebagai diskriminasi.
Jangkitan di China telah meningkat selepas negara memansuhkan dasar sifar COVID-19 ketat pada 7 Disember sekali gus menyebabkan virus tersebar luas.
Sementara itu, semua penumbang ketibaan antarabangsa di lapangan terbang New Zealand diminta melakukan ujian sekiranya bergejala dan ujian adalah percuma.
Tambah Verrall, walau bagaimanapun petugas meminta pelancong dari China melakukan ujian secara sukarela dalam usaha mengumpul lebih banyak maklumat sekali gus mencerminkan keprihatinan New Zealand bersama organisasi kesihatan dunia mengenai kekurangan perkongsian maklumat China.
New Zealand turut merancang menguji sisa air kumbahan dari penerbangan antarabangsa untuk melihat sama ada ia dapat menggantikan ujian bersasar di kalangan penumpang.