COVID-19: Pekerja kesihatan Belgium tuntut lebih banyak dana, tenaga kerja
Astro Awani
Mei 30, 2021 08:07 MYT
Mei 30, 2021 08:07 MYT
BRUSSELS: Kira-kira seribu pekerja kesihatan Belgium mengadakan demonstrasi bagi menuntut lebih banyak dana dan tenaga kerja berikutan tekanan selama setahun akibat pandemik COVID-19.
Bagi tujuan itu pekerja kesihatan berkumpul di ibu kota Brussels, pada Sabtu.
Penunjuk perasaan mahu mereka tidak dilupakan kerana angka kematian dan jumlah kemasukan ke hospital menunjukkan peningkatan berikutan kadar vaksinasi yang perlahan.
Seorang pembantu doktor, Justine Lombard berkata, COVID-19 mendedahkan masalah struktur di hospital dengan banyak perkhidmatan terpaksa ditutup berikutan kekurangan sumber.
"Kami penat kerana krisis COVID-19 memaksa kami bekerja lebih masa tanpa masa rehat yang secukupnya.
"Sebenarnya kami sudah biasa dengan perkara itu namun orang ramai harus sedar keadaan ini tidak boleh berpanjangan.
"Apa yang kami minta adalah supaya struktur hospital itu sendiri diubah kerana terdapat beberapa perkhidmatan yang terpaksa ditutup akibat kekurangan pekerja," jelasnya.
Katanya, pekerja kesihatan memerlukan lebih banyak dana dan sumber tenaga kerja.
Belgium kini dilanda tekanan tinggi akibat virus COVID-19 dengan kadar kemasukan ke hospital dan angka kematian yang semakin meningkat.