COVID-19: Pasar raya Australia had pembelian tisu tandas
Agensi
Mac 4, 2020 10:41 MYT
Mac 4, 2020 10:41 MYT
Pasar raya terbesar Australia, Woolworths mengumumkan had pembelian tisu tandas susulan pembelian panik di negara itu akibat penularan COVID-19.
Menurut AFP, syarikat itu dalam kenyataan berkata, setiap pelanggan dihadkan membeli empat pek tisu tandas bagi memastikan lebih ramai pengguna boleh mendapatkan produk tersebut.
Keputusan tersebut juga sebagai langkah bagi meningkatkan bekalan stok susulan permintaan yang lebih tinggi berbanding kebiasaan.
Walaupun kerajaan memberikan jaminan tiada kehabisan stok barangan, namun gambar yang tersebar di laman sosial menunjukkan beberapa rak barang kosong termasuk tisu tandas.
Susulan itu, Perdana Menteri Australia, Scott Morrison berkata pihaknya telah berhubung dengan dua pasar raya utama di negara itu iaitu Woolworths dan Coles bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu.
Difahamkan selain tisu tandas, peruncit turut mengalami kekurangan bekalan topeng mulut dan hidung dan pembersih tangan.