COVID-19: Pasar makanan laut di Thailand ditutup, penjual udang dipercayai punca

Khairunnisa Kasnoon
Disember 20, 2020 21:29 MYT
Jabatan Kawalan Penyakit Thailand memaklumkan 141 lagi kes dilaporkan pada Ahad, berkaitan dengan pasar itu. -Reuters
BANGKOK: Ribuan penduduk di Samut Sakhon beratur untuk menjalani ujian saringan selepas wilayah itu mencatatkan jangkitan hampir 700 kes.
Barisan panjang, majoritinya pekerja asing beratur sepanjang kira-kira 100 meter di Mahachai selepas kerajaan menyediakan pusat ujian bergerak di wilayah berkenaan.
Sebanyak tiga lokasi di sediakan di kawasan berkenaan.
Selain itu, polis menutup pasar makanan laut, Klang Koong yang dipercayai tempat penularan wabak tersebut.
Jabatan Kawalan Penyakit Thailand memaklumkan, 141 lagi kes dilaporkan pada Ahad, berkaitan dengan pasar itu.
Lonjakan kes di pasar berkenaan berpunca daripada seorang penjual udang yang berusia 67 tahun.
Kebanyakan kes merupakan pekerja asing dari Myanmar.
Dalam pada itu, pihak berkuasa mengenakan perintah berkurung pada waktu malam dan sekatan perjalanan lain di wilayah Samut Sakhon sehingga 3 Januari.
Antara lain, kebanyakan tempat awam di Samut Sakhon diperintahkan ditutup bagi mengekang penyebaran.
Ia termasuk pusat membeli-belah, sekolah, pawagam, spa dan stadium.
#Thailand #polis #pekerja asing #ujian saringan #COVID-19 #perintah berkurung #pasar makanan laut #penjual udang