COVID-19: Pandemik masih belum berakhir - WHO

Astro Awani
April 27, 2020 06:30 MYT
Dr Tedros bimbang dengan peningkatan kes positif dan kematian di Afrika, Timur Eropah, Amerika Latin dan beberapa negara Asia.- Reuters
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Gebreyesus memberi amaran pandemik koronavirus masih belum berakhir.
Ia disifatkan masih mengganggu perkhidmatan kesihatan khususnya imunisasi bagi kanak-kanak di negara termiskin.
Agensi itu melahirkan kebimbangan dengan peningkatan kes positif dan kematian di Afrika, Timur Eropah, Amerika Latin dan beberapa negara Asia.
“Ketika beberapa negara di Eropah melonggarkan sekatan susulan pengurangan kes, kami mendesak negara-negara ini mencari, mengasingkan, menguji dan merawat semua kes dan mengesan kontak untuk memastikan trend penurunan ini berterusan.
“Tetapi pandemik masih jauh lagi untuk berakhir.
"WHO masih bimbang dengan trend peningkatan Afrika, Timur Eropah, Amerika Latin dan beberapa negara Asia,” jelasnya.
Kata Dr Tedros, masih banyak yang perlu dilakukan kini.
Beliau juga yakin tindakan yang betul akan membolehkan dunia mengelak jangkitan gelombang kedua.
Dalam pada itu, beliau bimbang dengan aspek kesihatan kanak-kanak yang terancam.
Ini kerana situasi kecemasan yang menyaksikan kawalan pergerakan seluruh dunia menyebabkan berlakunya kekurangan vaksin penyakit-penyakit seperti polio, campak, kolera, demam kuning dan meningitis.
Sehingga kini, sekurang-kurangnya 21 negara melaporkan kekurangan vaksin, kesan penutupan sempadan dan gangguan perjalanan akibat pandemik COVID-19.
#Asia #campak #COVID-19 #Demam kuning #gelombang kedua #Kanak-kanak #kesihatan #kolera #koronavirus #meningitis #polio #Tedros Adhanom Gebreyesus #trend penurunan #WHO
;