COVID-19: Pakistan gesa orang ramai beli haiwan korban dalam talian

Reuters
Julai 28, 2020 21:20 MYT
Pasar haiwan ternakan di Karachi lengang. - REUTERS/Akhtar Soomro
Pihak berkuasa Pakistan menggesa orang ramai membuat pembelian haiwan korban secara dalam talian atau sekurang-kurangnya memakai pelitup muka ketika mengunjungi pasar, susulan kebimbangan peningkatan jangkitan COVID-19 menjelang sambutan Aidiladha.
Arahan penjarakan sosial seperti yang diarahkan kerajaan tahun ini termasuk operasi setengah hari, menyaksikan penurunan pelanggan di pasar yang kebiasaannya sesak dengan pengunjung.
Pasar haiwan ternakan utama di Karachi, bandar terbesar di Pakistan, lengang biarpun hanya tinggal beberapa hari saja menjelang Aidiladha.
Seorang penjual di pasar itu, Allah Ditta, yang melalui perjalanan berpuluh kilometer untuk menjual haiwan ternakannya di pasar itu, memberitahu Reuters bahawa pelanggannya berkurangan hampir separuh daripada kebiasaan.
Sebilangan besar pelawat menolak syarat pemakaian pelitup muka, malah ramai ibu bapa turut membawa anak-anak kecil mereka biarpun dilarang.
"Saya tidak faham keadaan ini. Saya tidak nampak ada orang meninggal dunia akibatnya,” kata peniaga Muhammad Akram.
Pakistan setakat ini melaporkan lebih 270,000 kes COVID-19 dengan hampir 6,000 kematian.
Kes jangkitan baharu semakin berkurangan setiap hari, dengan 1,200 kes dicatat pada Ahad berbanding kemuncak kes bulan lalu yang mencatat 7,000 kes ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri.
#Aidiladha #COVID-19 #hari raya #kerajaan #koronavirus #Pakistan #peniaga #penjarakan sosial
;