COVID-19: Pakar sebut pandemik, WHO minta jangan panik
Razak Chik
Februari 25, 2020 23:57 MYT
Februari 25, 2020 23:57 MYT
WABAK selesema yang kian merebak di beberapa negara dunia selain China pada kadar yang agak cepat ada potensi mencapai tahap pandemik.
Namun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hanya memilih untuk mengklasifikasikan wabak ini sebagai kecemasan global dan bukan mencapai tahap pandemik.
Pandemik membawa bermaksud sesuatu penyakit yang merebak di banyak negara pada waktu yang sama.
Mengikut Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, penggunaan perkataan pandemik tidak menepati fakta apa yang sebenarnya berlaku.
Data yang dikutip WHO menunjukkan wabak virus korona di China sudah mencapai kemuncak antara 23 Januari dan 2 Februari dan kes baharu sudah mula bertambah pada kadar menguncup.
Namun penularan yang kian bertambah serius di luar China menimbulkan kebimbangan.
“Kes penularan di luar China masih dalam kadar terkawal,” menurut Ghebreyesus.
Pendirian WHO itu tidak dikongsi Pengarah Kumpulan Penyelidik Vaksin Mayo Clinic Dr Gregory Poland yang tegas berpendirian COVID-19 sedang bergerak ke arah menular sebagai virus secara pandemik.
Prof Jimmy Whitworth dari the London School of Hygiene and Tropical Medicine mendakwa terdapat pakar epidemik menyifatkan dunia sudah tiba peringkat awal berlakunya pandemik.
Tambah Prof Whitworth, penularan di Korea Selatan, Itali dan Iran antara perkembangan terkini yang memberi petunjuk berlakunya pandemik.
Di Iran, kes paling menarik perhatian melibatkan Timbalan Menteri Kesihatan Irarj Harirchi.
Harirchi pernah mengkritik tindakan kuarantin terhadap pesakit COVID-19. Beliau sendiri didapati positif apabila diuji.