COVID-19: Pakar optimis trend kematian di AS tidak seteruk tahun lalu

Astro Awani
Julai 14, 2021 08:15 MYT
Angka kematian dan kemasukan ke hospital dijangka tidak seteruk tahun lepas kerana kini makin ramai telah menerima vaksin. - Gambar hiasan
AMERIKA Syarikat mencatatkan peningkatan kes jangkitan COVID-19 sejak dua minggu lalu.
Menurut data Johns Hopkins University, angka jangkitan baharu naik dari 12,000 ke 19,500 sehari.
Bagaimanapun, profesor epidemiologi di Johns Hopkins University, Dr David Dowdy optimis kadar kematian tidak akan menyamai trend tahun lalu.
Namun, katanya, pelaksanaan langkah pengekangan wabak harus dilakukan secara berhati-hati.
"Saya rasa kita akan melihat peningkatan kemasukan ke hospital. Kita juga mungkin akan melihat angka kematian meningkat. Tetapi tidak pada tahap yang sama, kerana kini lebih ramai orang telah divaksin.
"Namun, ia tetap satu perkara yang membimbangkan. Apa yang berlaku tidak dalam hala tuju yang betul, sekurang-kurangnya di negara ini," katanya pada Selasa.
Peningkatan kes dikaitkan dengan faktor individu yang belum divaksin serta penularan varian Delta.
Dowdy juga berpendapat, terlalu awal untuk memutuskan apakah vaksin pengganti diperlukan untuk memerangi strain baharu itu.
"Tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa vaksin semasa yang digunakan di Amerika Syarikat kurang berkesan terhadap varian Delta.
"Jadi, varian terkini, adakah imuniti ini akan menurun dari semasa ke semasa? Ya. Tetapi kita tidak tahu seberapa banyak," katanya.
Pada Isnin, Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) memberi amaran baharu, vaksin COVID-19 keluaran Johnson & Johnson (J&J) berpotensi mewujudkan kesan neurologi yang jarang berlaku, seperti sindrom Guillian-Barre.
Sindrom Guillian-Barre adalah gangguan sistem imun yang boleh menyebabkan kelemahan otot dan lumpuh.
Bagaimanapun, jumlah kes yang dilaporkan berkaitan dengan vaksin J&J mewakili sebahagian kecil dari hampir 13 juta orang Amerika yang telah menerima suntikan satu dos.
#COVID-19 #Johns Hopkins University #Amerika Syarikat #vaksin #suntikan #jangkitan #David Dowdy #Johnson & Johnson #kesan neurologi
;