COVID-19: Pakar khuatir kes pandemik naik mendadak susulan protes di AS

Astro Awani
Jun 1, 2020 07:00 MYT
Pakar kesihatan meminta mereka yang terlibat di dalam protes berkenaan memakai topeng muka fabrik atau sebarang penutup muka. - REUTERS/Lucas Jackson
Pakar menjangkakan siri protes yang berlaku di Amerika Syarikat (AS) boleh menyebabkan peningkatan kes baharu COVID-19 di negara itu dengan mendadak.
Menurut Pakar Kesihatan George Washington University, Profesor Dr Leana Wen, ia merujuk kepada keadaan penunjuk perasaan yang menjerit dan bersesak-sesak.
“Mereka berada di luar bangunan, jadi ini akan mengurangkan satu risiko. Namun orang ramai menjerit dan mereka sangat beremosi.
“Orang akan berkumpul di tempat yang sempit. Mereka berkumpul untuk tempoh yang lama dan sekali lagi, mereka patut nilai risiko mereka,” katanya.
Jelasnya, paling penting adalah mereka memakai topeng muka fabrik atau sebarang penutup muka.
“Pastikan mereka tutup mulut dan hidung, ini penting.
"Jika mereka ingin membuka topeng muka ini, mereka harus lakukannya dengan berhati-hati agar tidak mencemari topeng ini dan membersihkan tangan selepas itu,” jelasnya.
Pakar itu juga menggesa penunjuk perasaan menyimpan diari di mana mereka berada.
“Ini akan memudahkan proses kenal pasti kontak rapat. Mereka boleh mencatatkan di mana mereka berada dan jika ada yang diuji positif COVID-19, mereka juga berpotensi untuk dijangkiti.
“Jika ada berlaku peningkatan kes, ia hanya akan diketahui selepas dua minggu,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, pelbagai pemimpin turut menggesa penunjuk perasaan tenang dan tidak merosakkan harta benda serta premis perniagaan dalam protes menentang keganasan polis di AS.
#COVID-19 #George Floyd #George Washington University #keganasan #keganasan polis #kontak rapat #Leana Wen #Pakar Kesihatan #protes #rusuhan #Washington
;