COVID-19: Orang kaya Hong Kong terpaksa tempah jet peribadi untuk selamatkan 'si comel' mereka

Agensi
Februari 2, 2022 13:13 MYT
Sehingga kini, terdapat antara 3,000 hingga 4,000 anjing dan kucing yang terkandas di Hong Kong dalam usaha membawa haiwan-haiwan itu ke luar negara. - Gambar fail
HONG KONG: Golongan berkemampuan di Hong Kong yang memiliki haiwan peliharaan terpaksa menggunakan langkah terakhir untuk menyelamatkan ‘si comel’ kesayangan mereka dari dilupuskan di bawah peraturan ketat mencegah COVID-19 di China.
Oleh kerana penerbangan komersial tidak lagi secara sembarangan menerima masuk penumpang bersama haiwan untuk dibawa ke luar negara, golongan kaya Hong Kong kini menempah pesawat jet persendirian.
China kekal sebagai salah satu negara di dunia yang melaksanakan polisi sifar COVID-19, sekali gus menjadikan Hong Kong, yang suatu ketika dahulu, sebuah hab penerbangan, kini sebuah bandar raya yang terkekang pergerakan akibat pelan perjalanan antarabangsa yang dibatalkan.
Kemunculan varian Omicron dalam minggu-minggu kebelakangan ini menyaksikan pihak berkuasa menghalang kemasukan pesawat, termasuk tidak menerima kedatangan penumpang transit dari pelbagai negara.
Bagi seorang warga Hong Kong yang mahu berpindah ke Britain, Lee, itu bermakna, tidak ada jalan untuk membawa dia kucing kesayangannya, Teddy dan Newman, menggunakan penerbangan komersial.
“Ini situasi yang tidak terduga. Jika perjalanan ini hanya melibatkan saya dan isteri, tentu sekali kami tidak perlu menaiki jet persendirian. Semua ini kerana kucing-kucing kami,” ujar Lee.
Satu pilihan yang hanya mampu ditanggung golongan ultra-kaya, pesawat persendirian kini menjadi mod pengangkutan bagi pemilik haiwan peliharaan yang terdesak untuk meninggalkan Hong Kong.
Berikutan jadual penerbangan komersial yang dibatalkan, sehingga kini, terdapat antara 3,000 hingga 4,000 anjing dan kucing yang terkandas dalam usaha membawa haiwan-haiwan itu ke luar negara.
"Tiada sejumlah wang yang mampu membeli tempat duduk untuk haiwan-haiwan ini dalam penerbangan komersial," keluh konsultan, Fanny Liang, dari syarikat Pet Holidays yang sebelum ini menguruskan perjalanan percutian pemilik haiwan dan haiwan mereka.
Awal bulan ini, kerajaan memerintahkan pelupusan besar-besaran hamster dan mamalia kecil lain dari kedai haiwan peliharaan serta pemilikan peribadi selepas laporan kes positif COVID-19.
Menurut kaji selidik American Chamber of Commerce, lebih daripada 40 peratus pemastautin warga asing berkata, mereka sedia untuk meninggalkan Hong Kong berikutan kekangan perjalanan dan COVID-19.
#aiwan peliharaan #COVID-19 #Hong Kong #jet peribadi
;