COVID-19: New Zealand umum perintah berkurung tiga hari di Auckland

Agensi
Februari 14, 2021 00:42 MYT
ARDERN: Kita telah berjaya hapuskan virus itu sebelum ini, dan kita lakukannya sekali lagi. - Gambar fail/REUTERS
WELLINGTON: New Zealand mengumumkan pelaksanaan perintah berkurung selama tiga hari di Auckland susulan pengesanan kluster baharu wabak COVID-19 di negara itu.
Menurut Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, menerusi perintah berkurung tahap tiga itu, semua penduduk dikehendaki kekal duduk di rumah kecuali untuk membeli barang keperluan dan untuk mereka yang bekerja dalam sektor perkhidmatan perlu.
“Kita telah berjaya hapuskan virus itu sebelum ini, dan kita lakukannya sekali lagi,” kata Arden dalam sidang media di Wellington.
“Tiga hari memberikan kita masa yang cukup untuk memperolehi lebih maklumat, melakukan ujian berskala besar dan mengenal pasti sama ada wujudnya penularan komuniti yang lebih luas,” katanya lagi.
Terdahulu, New Zealand mengesahkan penemuan kluster baharu wabak COVID-19 di negara itu.
BACA: New Zealand kesan penularan baharu wabak COVID-19
Kluster terbabit dikenal pasti pada tiga sekeluarga di mana ibu dan anak perempuan diuji positif pada Sabtu manakala suami wanita itu dikesan positif pada Ahad.
Difahamkan wanita terbabit bekerja di sebuah firma katering untuk syarikat penerbangan antarabangsa.
Pihak berkuasa bagaimanapun menafikan kes jangkitan baharu ini ada kaitan dengan sajian dalam penerbangan ekoran jurang lapan hari di antara hari terakhir wanita itu di tempat kerja dan ketika dia positif.
New Zealand disebut-sebut sebagai antara negara paling berjaya membendung wabak COVID-19 apabila tidak merekodkan kes baharu selama lebih dua bulan.
Namun tiga minggu kebelakangan, beberapa kes positif dilapor dikesan di sebuah hotel di mana individu terbabit selesai menjalani proses kuarantin setelah pulang dari luar negara.
#New Zealand #COVID-19 #perintah berkurung #Auckland #Perdana Menteri New Zealand #Jacinda Ardern
;