COVID-19: New Zealand catat sifar kes aktif dengan pesakit terakhir pulih
Agensi
Jun 8, 2020 17:57 MYT
Jun 8, 2020 17:57 MYT
Tiada sebarang kes aktif COVID-19 dicatatkan New Zealand susulan pesakit terakhir di negara itu disahkan sembuh dan dilepaskan daripada pengasingan.
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan pada Isnin, kes sembuh terakhir itu dipercayai melibatkan seorang wanita berusia 50-an yang dikaitkan dengan kluster rumah penjagaan di Auckland.
Ketua Pengarah Jabatan Kesihatan, Ashley Bloomfield, berkata ia adalah satu berita baik dan pencapaian kepada keseluruhan New Zealand.
“Tidak mempunyai sebarang kes aktif untuk kali pertamanya sejak 28 Februari lalu adalah satu signifikan penting dalam usaha ini,” katanya.
Bloomfield, bagaimanapun, berkata sikap berwaspada juga perlu diutamakan bagi menentang penularan wabak COVID-19.
New Zealand berjaya menangani pandemik ini apabila tujuh minggu sekatan ketat dilaksanakan yang berakhir pada bulan lalu.
Negara Pasifik Selatan dengan populasi lima juta itu mempunyai 1,154 kes disahkan dengan 22 kematian, namun sejak 17 hari lalu tiada kes baharu dilaporkan dan hanya satu kes aktif dicatatkan sepanjang minggu lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri, Jacinda Ardern dijangka akan menurunkan tahap amaran ke Tahap 1 iaitu peringkat terendah pada sistem tindak balas virus empat peringkatnya.
Namun, sekatan perjalanan antarabangsa masih dikekalkan, manakala perjalanan domestik masih dikawal.
#Ashley Bloomfield
#Auckland
#COVID-19
#Jacinda Ardern
#Kementerian Kesihatan
#Kes sembuh
#koronavirus
#New Zealand
#Perdana Menteri
#sekatan