COVID-19: New Zealand batal majlis memperingati tragedi masjid Christchurch

Firdaus Azil
Mac 14, 2020 10:48 MYT
Jacinda Ardern anggap ia keputusan pragmatik, tetapi harus dilakukan demi mengurangkan risiko terhadap rakyatnya. -Gambar fail/AP
New Zealand membatalkan majlis memperingati ulang tahun pertama tragedi serangan di Masjid Christchurch susulan kebimbangan ke atas penularan wabak COVID-19, kata Perdana Menterinya Jacinda Ardern.
“Ini merupakan keputusan yang pragmatik. Kami sangat sedih kerana terpaksa membatalkannya...tetapi dalam kita mengingati tragedi ini, kami merasakan tidak wajar untuk menimbulkan lebih banyak risiko
“Nasihat yang kami terima mengatakan orang yang ingin hadir ke majlis ini datang dari daerah yang pelbagai, serta dari luar negara.
"Jika ada kes, ia agak mustahil untuk kami mengesan siapa yang akan menjadi kontak rapat. Maka kami terpaksa mengambil langkah pencegahan,” katanya pada Sabtu.
Dalam pada itu, Ardern berkata, New Zealand telah berubah secara fundamental sejak kejadian tragis yang mengorbankan 51 nyawa itu.
Dalam sidang media yang penuh emosi itu, Ardern berkata penglibatan dengan komuniti Muslim telah meningkat sejak tragedi di Masjid Al Noor dan Lindood.
Namun beliau merasakan negara perlu terus memerangi sentimen perkauman serta ancaman golongan berhaluan kanan.
“Cabaran bagi kita ialah untuk memastikan dalam tindakan seharian kita, dan setiap peluang yang kita ada, kita bertindak sebagai satu negara dalam menghalang pembulian, gangguan, perkauman serta diskriminasi,” katanya lagi.
Brenton Tarrant, warga negara Australia, menghadapi 92 pertuduhan berhubung serangan itu. Bagaimanapun beliau mengaku tidak bersalah dan akan menghadapi perbicaraan pada Jun ini.
#Brenton Tarrant #COVID-19 #Jacinda Ardern #koronavirus #Lindood #majlis memperingati ulang tahun pertama #Masjid Al Noor #Masjid Christchurch #New Zealand #Perdana Menteri #tragedi serangan
;