COVID-19: New York tarik semula mandat pelitup muka

Astro Awani
Februari 10, 2022 08:19 MYT
Seorang pembeli memakai topeng pelitup muka ketika mengunjungi sebuah pasar di New York, 9 Feb 2022. (Foto AP)
BANDAR New York bakal menamatkan mandat penggunaan pelitup muka di tempat tertutup awam, umum Gabenor Kathy Hochul pada Rabu.
Bagaimanapun, penggunaannya masih diwajibkan di sekolah buat masa ini, bagi mengekang penularan COVID-19 dalam kalangan pelajar.
Bermula 10 Dis lalu, mandat penggunaan pelitup muka diwajibkan di kebanyakan tempat tertutup termasuk pasar raya, kedai-kedai dan pejabat, susulan kemunculan varian baharu Omicron.
Ia sepatutnya berakhir pada Khamis, melainkan jika ia dilanjutkan oleh pentadbiran bandar itu.
Penamatan mandat ini susulan kadar kebolehjangkitan semakin menunjukkan penurunan.
Namun, ia masih berkuat kuasa di beberapa tempat termasuk fasiliti kesihatan.
Pelaksanaannya akan dikaji semula terhadap golongan pelajar selepas kebanyakan mereka akan kembali ke sekolah akhir bulan ini.
Bagi mengekang penularan di sekolah-sekolah, ribuan kit ujian kendiri akan diedarkan.
Bagaimanapun, Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC) Amerika Syarikat masih mengesyorkan penggunaan pelitup muka.
#New York #pelitup muka #Kathy Hochul #kadar kebolehjangkitan
;